Thursday 9 April 2020

22 inisiatif dengan peruntukan/implikasi kewangan RM24.424 juta, libatkan lebih 136,074 orang penerima!


… statistik terkini tentang inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat terkesan tempoh PKP bagi bendungi penularan wabak pandemic COVID-19.

POSTER BAGI MENGUAR-UARKAN TENTANG TEMUBUAL EKSKLUSIF INI...


NOTA EDITOR ;

Pada temubual khas Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Radio Malaysia Pahang yang disiarkan ‘live’ antara 3.15 petang dan 4.05 petang Khamis, 9 April di Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah (KOMPSAS), Kamunting, Kuantan;

Beliau antara lain menyebut satu persatu 22 inisiatif yang telah Kerajaan Negeri perkenal dan laksanakan setakat ini. Kesemua 22 inisiatif ini ialah dalam tiga (3) fasa iaitu Fasa 1 melibatkan lapan (8) inisiatif telah diumumkan pada 23 Mac 2020; Fasa 2 dengan lima (5) inisiatif diumumkan pada 30 Mac 2020 dan Fasa 3 bersama sembilan (9) lagi inisiatif diuar-uarkan semalam pada Rabu, 8 April 2020.

DALAM CONTI BERSAMA DJ AIN, RANCANGAN RADIO BERLOGHAT PAHANG 'APA KHABOR WEH'... 


Berikut disiarkan kesemua 22 inisiatif tersebut –


1) Peruntukan RM3.587 juta disediakan sebagai pemberian bantuan khas tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM150 dan barangan makanan seperti beras, tepung dan gula bernilai RM50 seorang.

Bantuan tunai dan barangan bernilai ini diberikan kepada kira-kira 17,935 orang penerima yang terdiri daripada mereka yang terkesan secara langsung dan terputus sumber pendapatan disebabkan PKP ini.

Proses agihan bantuan khas ini bermula 24 Mac 2020 dan diuruskan oleh Pegawai Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah.

2) Peruntukan khas kepada setiap 42 Ahli Dewan Negeri di Pahang – tanpa mengira parti pemerintah atau pembangkang; bagi membantu secara terus rakyat yang terjejas dengan penularan wabak pandemic Covid-19 ini.

Nilai keseluruhan peruntukan ialah RM252,000.

3) Memberikan potongan 100 peratus atau percuma, daripada kadar sewa bulanan Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan Rancangan Rumah Murah (RRM) di seluruh Negeri Pahang bagi bulan April 2020.

(Asalnya, diumumkan potongan 50 peratus tetapi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 April 2020 putuskan potongan 100 peratus).

Inisiatif ini memberi faedah kepada 2,453 penyewa dan melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM300,000.

4) Sebagai tanda sokongan dan simpati Kerajaan Negeri Pahang dan semua PBT di Negeri Pahang kepada golongan penjaja dan peniaga kecil, Kerajaan Negeri bersetuju memberikan potongan 100 peratus atau percuma juga bagi bayaran bulan April 2020 untuk sewaan gerai dan lain-lain kemudahan PBT, bayaran permit pasar tani, pasar pagi, pasar malam dan ‘car boot sale’.

(Asalnya, diumumkan potongan 50 peratus tetapi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri spade 8 April 2020 putuskan potongan 100 peratus).

Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 6,238 peniaga kecil dan penjaja serta melibatkan implikasi kewangan kepada PBT sebanyak RM2.586 juta.

5) Pembayaran bulan April bagi penerima Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 2,895 penerima diawalkan kepada 27 Mac 2020.

JKM Negeri Pahang turut mempercepatkan pembayaran bagi lain-lain jenis Bantuan Kewangan JKM kepada tarikh yang sama pada 27 Mac 2020.

Ini merangkumi Bantuan Kanak-Kanak, Elaun Pekerja Cacat, Bantuan Penjagaan Orang Kelainan Upaya (OKU) Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar, Bantuan OKU Tidak Bekerja, Bantuan Orang Tua, Bantuan Anak Pelihara dan Bantuan Latihan Perintis.

Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 26,806 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM8.95 juta.

6) Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan petugas-petugas di bilik gerakan operasi serta anggota-anggota pasukan keselamatan yang terlibat dengan operasi penguatkuasaan PKP di Negeri Pahang, Kerajaan Negeri Pahang bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM765,800 bagi menampung kos penyediaan makanan kepada petugas-petugas yang terlibat.

7) Bagi meringankan beban penyewa-penyewa premis milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Kerajaan Negeri bersetuju menangguhkan pembayaran sewa berkenaan untuk bulan-bulan April, Mei dan Jun 2020.

Implikasi kewangan yang dihadapi PKNP ialah RM1.5 juta.

8) Kepada Pekerja Sambilan Harian (PSH) di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pula, mereka akan menerima elaun penuh sepanjang tempoh PKP ini. Jumlah PSH ini ialah 128 orang manakala peruntukan terlibat ialah kira-kira RM69,120.  

9) Sumbangan tunai RM100 dan barangan bernilai RM50 kepada 500 orang atau 21,000 orang lagi penerima yang sangat memerlukan di semua 42 kawasan Dewan Negeri (DN) di Pahang.

Senarai penerima akan ditentukan dengan kerjasama Penghulu-penghulu serta Ketua Kampung-Ketua Kampung berkenaan.

Nilai peruntukan bagi melaksanakan inisiatif ini ialah RM3.15 juta.

10) Bantuan tunai RM300 kepada Penghulu-penghulu serta RM200 kepada Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK).

Terdapat 80 orang Penghulu dan 542 Pengerusi JKKK seluruh Pahang.

Nilai peruntukan yang disediakan untuk maksud ini ialah RM132,400.

11) Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pemberian 500 kampit beras kepada semua 42 kawasan Dewan Negeri (DN) untuk disumbangkan juga kepada golongan yang memerlukan kira-kira 21,000 orang lagi.

Nilai peruntukan untuk ini pula ialah RM304,500.

12) Sumbangan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 1,500 orang dalam kalangan miskin tegar di negeri ini.

Nilai peruntukan untuk bantuan ‘one-off’ ini ialah RM75,000.

13) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negeri, melibatkan 3,975 orang.

Nilai peruntukan untuk maksud ini ialah RM596,250.  

14) Sumbangan masing-masing 1,500 kampit beras 5 kg setiap kampit, kepada pemimpin masyarakat di 14 kawasan Parlimen di Pahang yang akan melibatkan 21,000 orang penerima (1,500 kampit/penerima X 14 kawasan Parlimen) dengan nilai keseluruhannya, RM304,500.

15) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada seramai 426 orang yang dalam kalangan Pemandu Pelancong Semulajadi Taman Negara, Pemandu Pelancong Biasa dan Pemandu Bot Pelancong Taman Negara.

Nilai peruntukan keseluruhannya untuk golongan berkaitan pelancongan ini ialah RM63,900.

16) Barangan keperluan bernilai RM50 kepada 3,500 Ketua Isi Rumah (KIR) di bawah Program Ziarah Prihatin. KIR yang terlibat ialah dalam kalangan mereka dikuarantin di rumah masing-masing yang di bawah kategori Pesakit Di bawah Pemantauan (PUS; Patient Under Surveillance).

Nilai peruntukannya pula ialah RM175,000.

17) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 70 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda seluruh Pahang melibatkan 3,500 orang penerima.

Nilai peruntukan ialah RM525,000.

18) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 62 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Kesalamatan Kampung Baharu (JKKKB) melibatkan 3,100 orang penerima.

Nilai peruntukan ialah RM465,000.   

19) Sumbangan tunai RM150 kepada 650 siswa-siswi anak Pahang yang kekal tinggal di asrama kampus masing-masing ekoran akur kepada PKP.

Nilai peruntukan untuk maksud ini ialah RM97,500.

20) Sumbangan barangan keperluan bernilai RM200 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas dengan keputusan memperketatkan lagi PKP di satu-satu kawasan berkenaan. Jumlah terlibat dipuratakan 200 KIR setiap 11 daerah bersamaan 2,200 KIR di seluruh Pahang.

Nilai peruntukan ialah RM440,000.    

21) Sumbangan sebagai bantuan pengurusan sebanyak RM5,000 kepada setiap 11 Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah bagi menguruskan pembekalan dan pengagihan barangan keperluan kepada KIR sepertimana di atas.

Nilai peruntukan ialah RM55,000.   

22) Sumbangan RM30,000 sebagai membantu usahawan mikro ‘E-Hailing’ khususnya di Kuantan yang terkesan teruk dengan PKP.  

“Dengan ini menjadikan keseluruhan nilai peruntukan serta implikasi kewangan untuk kesemua 22 inisiatif yang Kerajaan Negeri perkenal dan laksanakan setakat ini ialah sebanyak RM24.424 juta, serta melibatkan lebih 136,074 orang penerima. 

“Sungguhpun begitu, saya turut menerima aduan daripada sesetangah golongan tentang mereka yang turut terkesan teruk dengan arahan PKP tetapi tidak menerima sebarang bantuan.

“Dalam hal ini saya berharap mereka dapat bersabar dan buatlah aduan yang sepatutnya dengan pihak-pihak berkenaan sama ada kepada Ketua-ketua Kampung, Penghulu mahupun Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang berkenaan,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy semasa temubual kira-kira 50-minit bersama Radio Malaysia Pahang itu.

LAGI SUASANA DALAM CONTI... Selain DJ Ain ialah DJ 'Awang' yang membelakangi kamera. – Khabar