Friday 24 April 2020

Bermulanya projek RM18 juta atasi kekeruhan air mentah ke Loji Rawatan Air daerah Raub


… dan projek RM12 juta atasi masalah bekalan air musim panas, secara perintis di Lipis  

MEMANG KERUH... Foto ini dimuat-naik sendiri oleh wakil rakyat setempat, Dato' Sri Shahiruddin Ab. Moin (BN - Dong) dalam kumpulan WhatsApp Sahabat Kerajaan Pahang pada 22 April. 


NOTA EDITOR ;

Hakikat bahawa daerah Raub terjejas dalam mendapatkan perkhidmatan bekalan air bermutu memang tidak dinafikan. Puncanya ialah bekalan air mentah yang keruh hingga tidak memungkinkan Loji Rawatan Air di sana memproses untuk dijadikan sebagai air bersih terawat untuk dibekalkan kepada penduduk.

Moga-moga dengan bermulanya projek RM18 juta berupa apinjaman daripada Kerajaan Persekutuan ini, masalah yang menghantui penduduk Raub dapat diatasi dalam tempoh 18 bulan atau kira-kira setahun setengah bulan lagi, InsyaAllah.

Berikut disiarkan sepenuhnya Kenyataan Media Menteri Besar yang disiar-edarkan kepada media-massa pada Khamis, 23 April.  


KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI BESAR PAHANG


Projek RM18 juta atasi kekeruhan air mentah  ke Loji Rawatan Air daerah Raub & RM12 juta atasi masalah bekalan air semasa musim panas daerah Lipis  

Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa inisiatif bagi menyelesaikan masalah kekeruhan sumber air mentah yang mengalir ke beberapa Loji Rawatan Air (LRA) di Raub.

Menerusi peruntukan RM18 juta Kerajaan Persekutuan, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) sedang melaksanakan kerja-kerja berkaitan khususnya pembinaan ‘Pre-Sedimentation Tank’ yang melibatkan LRA-LRA Sungai Bilut, Sungai
Semantan dan Sungai Klau.

Matlamat utama untuk mengurangkan kadar kekeruhan tinggi pada sumber air mentah, sebelum mengalir ke ketiga-tiga LRA tersebut. Ia bagi mencapai kualiti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seterusnya dapat membekalkan air bersih terawat kepada penduduk.

Projek ini dijangka mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan, meliputi kerja-kerja reka bentuk dan perolehan (selama enam (6) bulan), disusuli pembinaan (selama 12 bulan).

Sungguhpun begitu, Kerajaan Negeri akan memastikan projek ini dapat dilaksana dan disiapkan lebih cepat bagi memastikan penduduk Raub yang terkesan dengan masalah ini, dapat kembali menikmati bekalan air bersih terawat dalam tempoh lebih awal, In Sya Awal.

Mengenai projek RM12 juta daripada peruntukan Kerajaan Negeri bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi sungguhpun semasa musim panas, PAIP akan segera melaksanakan projek perintis pembinaan ‘Off River Storage’ (ORS) atau Kolam Takungan Hiliran di Lipis.

Menerusi kaedah ORS ini, ia juga dapat mengurangkan kadar kekeruhan tinggi pada sumber air mentah, seterusnya dapat menjimatkan kos operasi bagi kerja-kerja rawatan air di LRA.
 
Projek ini pula dijangka mengambil masa 19 bulan untuk disiapkan, meliputi kerja-kerja reka bentuk dan perolehan (selama empat (4) bulan, disusuli pembinaan (selama 15 bulan).

Kerajaan Negeri berharap, projek perintis ORS ini akan dapat menjadi antara alternatif bagi menampung keperluan air mentah mencukupi dan tidak keruh, seterusnya diproses menjadi air bersih terawat yang diperlukan oleh penduduk Pahang.


YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
23 April 2020 




– Khabar