Sunday 26 April 2020

Syarat-syarat dan tatacara perbicaraan kes-kes syariah semasa tempoh PKP


“Saya berharap, syarat-syarat dan tatacara disediakan ini dapat dipatuhi sepenuhnya demi keselamatan dan kesihatan mereka terlibat, serta diharap dapat turut menjayakan usaha kita bersama dalam membendung penularan wabak pandemik COVID-19 ketika ini, In Sya Allah,” kata Menteri Besar.

(FOTO SEKADAR HIASAN)... 

KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Syarat-syarat dan tatacara perbicaraan kes-kes syariah semasa tempoh PKP

Bagi membolehkan rakyat dalam kalangan umat Islam di Pahang yang perlu berurusan dengan Mahkamah Syariah berkaitan perbicaraan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Kerajaan Negeri bersetuju kepada syarat-syarat dan tatacara yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Pahang (JKSP).

Syarat-syarat dan tatacaranya ialah sepertimana berikut –

1.1) Permohonan kes mendesak atau merekodkan persetujuan disertakan dengan Perakuan Segera yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah.

1.2) Mahkamah bersidang mendengar kes hanya Isnin sehingga Khamis, bermula 9 pagi hingga pukul 12 tengah hari.

1.3) Mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi langkah pencegahan di tempat kerja, iaitu –

Pegawai Mahkamah/Peguam Syarie dan Pihak-pihak berkenaan perlulah;  

a) Memastikan kesihatan diri berada pada tahap baik. Jika tidak sihat maka tidak dibenarkan hadir.  

b) Membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan ‘hand sanitizer’ di pintu masuk Mahkamah Syariah.

c) Diperiksa suhu badan oleh pihak Mahkamah Syariah.

d) Menjarakkan diri antara satu sama lain pada kedudukan 1 meter di mana-mana tempat dalam kawasan Mahkamah Syariah termasuk di Dewan Perbicaraan.

e) Memakai penutup mulut dan hidung.

Ruang Tempat Kerja/Dewan Bicara/kamar Hakim/Bilik Sulh Pejabat perlu melakukan nyahkuman/disinfeksi permukaan yang mudah dicemari kuman seperti ruang kerja, dewan perbicaraan, kaunter perkhidmatan, tombol pintu, papan kekunci komputer, Kamar Hakim, dan lif awam.

1.4) Hanya pihak-pihak berkenaan dan Peguam Syarie yang dilantik sahaja dibenarkan hadir.

1.5) Kanak-kanak dan ahli keluarga tidak dibenarkan hadir sama sekali.

1.6) Tarikh dan masa perbicaraan ditetapkan oleh Mahkamah Syariah.

1.7) Pegawai Mahkamah Syariah yang dibenarkan terdiri daripada seorang Hakim dan seorang Pendaftar, seorang Pembantu Syariah dan seorang dari bahagian kewangan dan seorang anggota Polis.

Mengenai Perakuan Segera –

Bagi permohonan Perakuan Segera di Mahkamah Tinggi Syariah; Pendaftar/Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah akan mengendalikan dokumen Perakuan Segera dan mendapatkan arahan selanjutnya daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

Bagi permohonan Perakuan Segera di Mahkamah Rendah Syariah; Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah akan mengendalikan dokumen Perakuan Segera dan mendapatkan arahan selanjutnya daripada Hakim Mahkamah Rendah Syariah.  

Kelulusan Sijil Perakuan Segera hanya dikeluarkan bagi kes yang benar-benar terdesak, dengan syarat yang ketat.

Telah ditetapkan juga bahawa, kes-kes yang akan dipertimbangkan untuk didengari dalam tempoh PKP ini ialah –

1) Pengesahan Lafaz Cerai (kedua-dua pihak setuju untuk rujuk).

2) Nafkah Anak (kedua-dua pihak bersetuju).

3) Nafkah Isteri (kedua-dua pihak bersetuju).

4) Hadhanah (kedua-dua pihak bersetuju).

5) Permohonan Wali Hakim ( borang yang lengkap dan disertakan sekali Laporan Siasatan PAID).

6) Permohonan Kebenaran Nikah Bawah Umur (borang yang lengkap dan disertakan sekali Laporan Siasatan PAID.

Pihak-pihak terlibat ialah –

1) Mahkamah, Hakim, Pendaftar/Penolong Pendaftar, Pembantu Pendaftar, Pembantu Tadbir (Kewangan), Pegawai ICT (kes atas talian).

2) Pihak-pihak, Plaintif, Defendan, Peguam Syarie Plaintif (jika ada), Peguam Syarie Defendan (jika ada).

Mahkamah yang terlibat (berpusat) pula ialah –

1)Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

2) Mahkamah Tinggi Syariah Temerloh.

3) Mahkamah Tinggi Syariah Bentong.

4) Mahkamah Rendah Syariah Kuantan.

5) Mahkamah Rendah Syariah Temerloh.

6) Mahkamah Rendah Syariah Bentong.

7) Mahkamah Rendah Syariah Pekan.

8) Mahkamah Rendah Syariah Rompin.   

Tempoh, hari dan masa persidangan ialah –

1) Mahkamah bersidang mendengar kes hanya Isnin sehingga Khamis.

2) Bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari sahaja.

3) Sehari ditetapkan pendengaran kepada tiga (3) kes sahaja iaitu 9 pagi bagi pendengaran kes pertama, 10 pagi pendengaran kes kedua, dan 11 pagi pendengaran kes ketiga serta urusan berkaitan.

Prosedur pada setiap peringkat kes –
(Pendaftaran kes);

1) Pihak-pihak berkenaan boleh menghubungi Pegawai Yang Bertanggungjawab (PIC) sebagaimana dinamakan dalam facebook @ laman sesawang rasmi JKSP.

2) PIC akan menasihatkan pihak-pihak memuat turun borang kebenaran pendengaran kes semasa PKP/perakuan segera di facebook @ laman sesawang JKSP untuk dilengkapkan. Borang telah lengkap dihantar kepada PIC melalui WhatsApp/e-mel untuk semakan dan kelulusan Hakim. Borang yang telah diluluskan/ditolak akan dikembalikan kepada pihak-pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya melalui WhatsApp/e-mel.

3) Jika kelulusan diberikan, PIC akan menasihatkan pihak-pihak berkenaan memuat turun borang berkaitan daripada facebook @ laman web JKSP dan melengkapkan borang tersebut serta menyertakan lampiran berkaitan melalui WhatsApp/e-mel.

4) PIC akan memanjangkan borang telah lengkap kepada Pendaftar/Penolong Pendaftar untuk tujuan pemfailan, penetapan tarikh dan penjanaan saman. Resit bayaran akan dijana pada tarikh pendengaran kes.

5) Saman akan diserahkan kepada pihak-pihak berkenaan melalui pos bagi tujuan pergerakan ke Mahkamah . Pihak-pihak yang dinamakan dalam saman sahaja dibenarkan hadir ke Mahkamah

6) Penolong Pendaftar/Pembantu Pendaftar membuka fail fizikal serta menyediakan borang catatan bicara.

(Pendengaran kes)

7) Pegawai ICT hendaklah memastikan peralatan ICT untuk kegunaan perbicaraan atas talian boleh digunakan sebelum proses pendengaran kes.

8) Pada tarikh pendengaran kes, Pihak Pegawai Keselamatan/Rela hanya akan membenarkan pihak-pihak berkenaan/peguam sahaja masuk ke dalam perkarangan Mahkamah. Jika pihak-pihak berkenaan ada menunjukkan sebarang ‘symptom’/tanda-tanda, kes tidak akan didengar dan ditangguhkan kepada tarikh lain.

9) Pembantu pendaftar hendaklah memastikan pihak-pihak berkenaan memakai penutup mulut dan hidung dan ‘hand sanitizer’ dengan betul.

10) Pihak-pihak berkenaan hendaklah duduk di tempat mengikut tanda yang telah disediakan terlebih dahulu oleh pihak Mahkamah.

11) Pembantu Pendaftar menyemak dokumen pengenalan diri pihak-pihak berkenaan (tanpa sentuhan).

12) Pendengaran kes dijalankan.

13) Penolong Pendaftar menyediakan notis tangguhan/perintah (jika perlu).

14) Pembantu Pendaftar mengambil bayaran pendaftaran dan perintah.
15) Pembantu Tadbir (kewangan)/Pegawai berautoriti menjana resit

16) Pembantu Pendaftar menyerahkan resit dan perintah kepada pihak-pihak berkenaan.

Saya berharap, syarat-syarat dan tatacara disediakan ini dapat dipatuhi sepenuhnya demi keselamatan dan kesihatan mereka terlibat, serta diharap dapat turut menjayakan usaha kita bersama dalam membendung penularan wabak pandemik COVID-19 ketika ini, In Sya Allah.


Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang  
26 April 2020 – Khabar