Sunday 26 April 2020

Syarat dan tatacara pelaksanaan majlis akad nikah di Pahang dalam tempoh PKP


“Adalah diharapkan dengan syarat dan tatacara yang dikeluarkan ini dapat dipatuhi demi bukan sahaja kemudahan alternatif kepada bakal-bakal pengantin tetapi bagi memastikan keberkesanan usaha dalam membendung wabak pandemik COVID-19, In Sya Allah,” kata Menteri Besar.

(FOTO SEKADAR HIASAN) MAJLIS AKAD NIKAH PRA-PKP... Dan semasa tempoh PKP ini, tidak lebih 8 orang sahaja yang boleh hadir. Selain pengantin lelaki dan perempuan, antaranya ialah seorang jurunikah dan dua (2) orang saksi; dan seorang wali. Selain itu, perlu memenuhi beberapa lagi syarat dan tatacara yang ditetapkan. 


NOTA EDITOR ;

Melegakan! Inilah yang boleh dikatakan tentang keputusan Kerajaan Negeri membenarkan kembali majlis akad nikah tetapi dengan keperluan pasangan pengantin dan keluarga mereka, patuh kepada syarat dan tatacara yang ditetapkan.

Ini merupakan satu lagi usaha Kerajaan Negeri bagi meleraikan kemaslahatan rakyat termasuk dalam kalangan  mereka, pasangan bakal mempelai yang orang kata, hendak ‘membina masjid’.

Dan ini juga merupakan satu lagi usaha bijak Kerajaan Negeri – umpama menarik rambut dari dalam tepung; rambut tak putus, tepung tak berselerak; dalam menghadapi kekalutan akibat penularan wabak pandemik COVID-19 hingga memerlukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan bagi mengekangnya.

Berikut disiarkan sepenuhnya Kenyataan Media oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai syarat dan tatacara sempena majlis akad nikah tersebut.  


KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Syarat dan tatacara pelaksanaan majlis akad nikah di Pahang dalam tempoh PKP

Merujuk situasi semasa berkaitan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menetapkan syarat dan tatacara bagi majlis akad nikah di negeri ini.

Syarat dan tatacara ialah seperti berikut –

1) Keutamaan bagi mengadakan majlis akad nikah ialah kepada bakal pasangan pengantin yang telah mendapat kebenaran berkahwin (telah mendapat borang Akuan Akad) daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

2) Majlis akad nikah hanya dilaksanakan di PAID, atau suatu tempat yang difikirkan sesuai oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah. Ia bagi memastikan keselamatan, pematuhan syarat dan tatacara, serta pemantauan.

3) Pemohon perlu membuat permohonan atas talian menerusi https://emunakahat.pahang.gov.my/ dengan melengkapkan Borang Permohonan Khas Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, seterusnya die-melkan ke PAID.
           
4) PAID akan membuat semakan dengan Pejabat Kesihatan Daerah mengenai maklumat-maklumat yang dinyatakan dalam borang permohonan, bagi mengesahkan pihak yang hadir bukan merupakan senarai Pesakit Dalam Siasatan (PUI) dan Pesakit Dalam Pemantauan (PUS). Mana-mana pihak tersenarai sebagai PUI atau PUS tidak dibenarkan hadir ke majlis akad tersebut.

5) Borang permohonan yang lengkap akan diproses oleh PAID dalam tempoh tujuh (7) hari. Surat pemakluman kepada pemohon akan diserahkan melalui e-mel bagi menentukan tarikh dan masa majlis akad akan dilaksanakan. Surat pemakluman ini perlulah dicetak oleh pemohon bagi tujuan pengesahan perjalanan hadir ke PAID.

6) Al-Fadhil Qadhi Daerah akan menentukan giliran tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual, yang akan disusun oleh PAID dengan mengambil kira perbincangan bersama pihak pemohon.

7) Pemohon dan pihak-pihak yang terlibat dalam majlis akad perlulah melepasi dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang akan dilaksanakan di peringkat PAID seperti berikut –

# Pemakaian penutup mulut dan hidung

# Melepasi ujian suhu  

# Penggunaan ‘hand sanitizer’

# Penjarakan sosial (sekurang-kurangnya 1 meter)

# Patuh susun atur kedudukan majlis yang ditentukan

# Membuat sanitasi tempat majlis akad

8) Meminimumkan kehadiran orang ke majlis (tidak melebihi 8 orang) dan hanya yang berkeperluan untuk hadir seperti berikut –

# Seorang jurunikah dan dua (2) orang saksi - ditentukan oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah

# Pengantin lelaki

# Pengantin perempuan

# Seorang Wali

9) Tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan, tidak melebihi 20 minit.

10) Semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon, dan diserahkan kepada Al-Fadhil Qadhi Daerah atau wakilnya.

11) Upacara adat istiadat dalam majlis tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali.

12) Beberapa keping gambar majlis akad nikah tersebut akan diambil oleh PAID bagi tujuan penyediaan laporan, rekod serta kemungkinan perkara-perkara berbangkit.

13) Jika terdapat mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, Al-Fadhil Qadhi Daerah atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Pahang, boleh menangguhkan majlis tersebut.

Adalah diharapkan dengan syarat dan tatacara yang dikeluarkan ini dapat dipatuhi demi bukan sahaja kemudahan alternatif kepada bakal-bakal pengantin tetapi bagi memastikan keberkesanan usaha dalam membendung wabak pandemik COVID-19, In Sya Allah.


Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
26 April 2020 – Khabar