Saturday, 11 April 2020

Teruskan #DudukDiRumah lagi kita ya


… demi bendungi penularan wabak pandemik COVID-19

STATUS TERKINI SETAKAT 12 TENGAH HARI SABTU, 11 APRIL... Seperti dikemas-kini secara harian oleh Jabatan Kesihatan Negeri menerusi laman 'Facebook'nya. 

NOTA EDITOR;

Ekoran semakin bertambahnya kes positif wabak pandemik COVID-19 di negeri ini, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah membuat saranannya sekali lagi memohon rakyat Pahang agar terus akur dan kekal #DudukDiRumah.

Berikut disiarkan sepenuhnya saranan beliau sepertimana turut dimuat-naik dalam Facebook dan Instagramnya pada petang Sabtu, 11 April ini.


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada 18 Mac lagi, saya tidak jemu-jemu menyarankan agar kita rakyat Pahang sekalian, supaya tolong #DudukDiRumah demi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 di negeri ini.

Hari ini, saya sekali lagi merayu dan membuat saranan ini – #DudukDiRumah. Ini memandangkan berlaku peningkatan kes positif yang membimbangkan terutamanya di daerah-daerah Kuantan, Jerantut, Pekan dan Bentong.

Oleh itu saya amat berharap agar kita semua akurlah kepada rayuan dan saranan ini kerana sehingga kini, inilah sahaja formula terbaik yang dapat memutuskan rantaian jangkitan wabak pandemik COVID-19 ini.

Menerusi laporan harian oleh pihak ‘Task Force COVID-19 Pahang’, masih terdapat ramai antara kita seolah-olah langsung tidak mengendahkan arahan ini sehingga ada yang kena tangkap dan dijatuhi hukuman.

Sesungguhnya, tindakan menghukum sebegini bukanlah hasrat utama Kerajaan. Kita tidak mahu soal-siasat dan tangkap sesiapa. Apa yang kita hasratkan ialah untuk kita hentikan rantaian jangkitan virus COVID-19 dari bumi kita ini.

KITA TIADA PILIHAN

Kami dalam Kerajaan Negeri juga faham, apabila sesuatu kawasan diperkukuhkan operasi pemantauan pergerakan, sudah tentu ia sedikit-sebanyak akan meresahkan jiwa dan menyukarkan rakyat terbabit.

Tetapi, kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan. Kita mesti terima hakikat, komponen UTAMA bagi kita mencapai matlamat menamatkan rantaian jangkitan COVID-19 ini ialah kita semua. Tuan/Puanlah penentu kejayaan ini.
Sekali lagi saya merayu dan menyarankan kepada semua supaya DUDUKLAH DI RUMAH.

Kalau perlu ke kedai atau ke bank atau ke stesen minyak, patuhilah syarat-syarat pencegahan yang ditetapkan. Gunalah penutup mulut dan hidung, bersihkan tangan dan jarakkan diri daripada mereka di sebelah kiri, kanan, belakang dan hadapan kita. Dan rancanglah pergerakan Tuan/Puan sewajarnya.

Saya percaya, kita semua masih boleh mengekang dan memutuskan rantaian jangkitan wabak ini. Bersamalah kita jayakan misi ini, In Sya Allah.

YAB DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang – Khabar