Wednesday 8 April 2020

Tiada Bazar Ramadan di Pahang;


Peniaga, pengguna digalak guna portal PahangMart sebagai alternatif, kata Menteri Besar



kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri hari ini menetapkan bahawa Bazar Ramadan di seluruh negeri tidak akan diadakan pada tahun ini demi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tengah hari Rabu, 8 April sepertimana diedar-siarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar.

Sebelum itu, Dato’ Sri Wan Rosdy telah mempengerusikan seperti biasa mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang turut membincangkan tentang nasib Bazar Ramadan ini yang diadakan di tingkat 10, Bangunan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jalan Tanah Putih dekat sini.
   
KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Tiada Bazar Ramadan di Pahang; peniaga, pengguna digalak guna portal PahangMart sebagai alternatif


1) Kerajaan Negeri membuat keputusan tidak membenarkan penganjuran aktiviti Bazar Ramadan di kesemua kawasan di bawah pentadbiran 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

2) Keputusan ini diambil bagi meneruskan lagi usaha untuk membendung penularan wabak pandemiK COVID-19 yang masih melanda negara dan mengancam kesihatan rakyat.

3) Ia juga sebagai menuruti saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah yang tidak menggalakkan sebarang bentuk perhimpunan melibatkan orangramai dalam tempoh enam (6) bulan hingga setahun, tanpa mengira sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang dilanjutkan lagi atau tidak.    

4) Sebagaimana kita sedia maklum, PKP Fasa 1 bermula 18 Mac hingga 31 Mac, telahpun dilanjutkan kepada Fasa 2 sehingga 14 April 2020. Umat Islam pula dijangka memulakan ibadah puasa bulan Ramadan Al-Mubarak pada 24 April 2020.

5) Dengan keputusan ini, ia melibatkan 94 lokasi penganjuran Bazar Ramadan di seluruh negeri, serta 4,639 peniaga sepertimana statistik yang direkodkan pada penganjuran Bazar Ramadan tahun lepas (2019) di kesemua 11 PBT dan di bawah pentadbiran Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) iaitu –

Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sebanyak 46 lokasi dengan 2,442 peniaga;
Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) sebanyak lapan (8) lokasi dengan 604 peniaga;
Majlis Daerah Rompin (MDR) sebanyak enam (6) lokasi dengan 466 peniaga;
Majlis Daerah Jerantut (MDJ) sebanyak tujuh (7) lokasi dengan 326 peniaga;
Majlis Daerah Maran (MDM) sebanyak enam (6) lokasi dengan 299 peniaga;
Majlis Daerah Raub (MDR) sebanyak 2 lokasi dengan 277 peniaga;
Majlis Daerah Pekan (MDP) sebanyak dua (2) lokasi dengan 260 peniaga;
Majlis Daerah Bentong (MDB) sebanyak tiga (3) lokasi dengan 208 peniaga;
Majlis Daerah Bera (MDB) sebanyak enam (6) lokasi dengan 176 peniaga;
Majlis Daerah Lipis (MDL) sebanyak lima (5) lokasi dengan 172 peniaga;
Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) sebanyak dua (2) lokasi dengan 138 peniaga; Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) sebanyak satu (1) lokasi dengan 14 peniaga.

6) Kerajaan Negeri mengambil peduli dan mengambil berat tentang kesukaran yang bakal dihadapi oleh peniaga-peniaga, serta juga rakyat/pengguna yang pasti terkesan dengan keputusan yang ‘unprecedented’ ini.

7) Oleh itu, Kerajaan Negeri telahpun meminta pihak pengurusan PahangGo agar dapat menawarkan perkhidmatan dalam talian bagi memudahkan para peniaga untuk terus ‘mencari makan’, manakala rakyat/pengguna dapat membuat pesanan-pesanan makanan untuk juadah berbuka puasa mereka.

8) Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan melancarkan ‘platform’ pasaraya atas talian atau portal dikenali ‘PahangMart’, yang akan memaparkan senarai pasaraya yang beroperasi dalam negeri Pahang berserta barangan jualan mereka.

9) Yang akan turut dipaparkan ialah senarai tapak Bazar Ramadan serta gerai-gerai jualannya, dan rakyat/pengguna boleh melihat gambar juadah yang disediakan lalu membuat tempahan menerusinya.

10) Selain turut menggunakan perkhidmatan penghantaran sedia ada, PahangGo – pihak yang bertangungjawab membina portal PahangMart ini; juga akan menyediakan ‘platform’ penghantaran (runner).

11) Kepada rakyat Pahang yang berminat untuk mendaftar sebagai penghantar (runner) ini pula, bolehlah menghubungi ‘PahangGo’ menerusi laman sosial mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

12) Menerusi inisiatif ini diharap dapat membantu bukan sahaja rakyat/pengguna untuk membeli juadah Bazar Ramadan dan barangan keperluan harian lain, malah boleh membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus berniaga dalam tempoh yang sukar akibat wabak pandemik COVID-19 ini. – Khabar