Saturday, 27 June 2020

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!


CALON BN KITA, SDR MOHD SHARIM MD ZAIN... Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Sdr Shahril Hamdan sedang memperkenalkan calon kita ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat malam Sabtu.


PUSAT MEDIA, KAMPUNG SALONG, PEKAN – Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!

Dengan mengambil iktibar daripada maksud sebenar peribahasa ini, penting sangatkah soal tempat kelahiran seseorang diungkit-ungkit segelintir pihak dalam konteks pencalonan Sdr Mohd Sharim Md Zain pada Pilihanraya Kecil (PRK) N23 Chini ini?

Memang tidak dinafikan, Sdr Mohd Sharim mewakili Barisan Nasional (BN) ialah anak kelahiran Kedah dengan dua (2) angka di tengah selepas sengkang (ENG; hyphen) pada nombor kad pengenalannya ialah -02-.

Namun hakikatnya, beliau dibesarkan oleh ibubapanya yang berhijrah ke negeri ini ke Rancangan Tanah Felda Chini 3. Malah, beliau bersekolah kemudian mencari nafkah, berkeluarga dan bermastautin sudah sekian lama di sini

Wartawan turut bertanyakan hal ini kepada Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan katanya; “Tak ada masalah. Kita kira calon yang kita pilih ialah calon yang diterima oleh pengundi-pengundi.

BUALAN MESRA SESAMA DUA TOKOH, PEMIMPIN KITA... Dato' Sri Wan Rosdy kelihatan berbincang sesuatu dengan Menteri Kanan (Keselamatan), Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO Malaysia. 


SDR MOHD SHARIM DIBESARKAN DI CHINI

“Kebetulan peneroka Felda kita semua tahu, datang dari banyak negeri, selain dari Pahang. Dan dia (Mohd Sharim) sebenarnya dibesarkan di Felda Chini, tak ada masalah, tak ada isu,” katanya kepada wartawan UMNO on-line ketika ditemui petang Sabtu, 27 Jun di perkarangan Dewan Dato’ Sri Abu Bakar, Kampung Bukit Udang.

Mengenai perkara yang sama, bekas Ahli Parlimen Johor Bharu, Tan Sri Shahrir Samad telah mendedahkan betapa dia sebenarnya kelahiran Kuantan dengan dua (2) angka di tengah selepas sengkang pada nombor kad pengenalannya ialah -06-.

Memang pada peringkat awal pencalonannya tahun 1978 menurutnya yang juga bekas Pengerusi FELDA, isu ini dimainkan tetapi akhirnya, penerimaan penduduk/pengundi Johor Bharu terhadapnya terus menyerlah.

Pokok-pangkal katanya, bukan tempat atau negeri kelahiran yang sepatutnya menjadi perhitungan tetapi, di mana seseorang dibesarkan serta tahap penglibatan sosio-politiknya di sana.

Ini Tan Sri Shahrir dedahkan pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat malam Sabtu, 27 Jun dalam khemah besar tertutup bersebelahan tapak pasar tani kekal di Pusat Bandar Chini.

BERKONGSI SATU PENTAS YANG SAMA... Yang pada majlis inilah kata Menteri Dalam Negeri, Dato' Sri Hamzah Zainuddin (di atas pentas, duduk tiga dari kiri) yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU); pertama kalinya pemimpin-pemimpin BN, PAS dan BERSATU berkongsi pentas yang sama tanda persepakatan erat sesama mereka.


NEGERI KITA TUMPAHKAN TAAT-SETIA DAN KHIDMAT TERBAIK KITA

Sehubungan itulah, penulis bangkitkan tentang peribahasa ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Betapa pentingnya kita apabila berada apatah lagi membesar di satu-satu tempat atau negeri, maka di situlah kita tumpahkan taat-setia dan perkhidmatan terbaik kita.

Ini sepertimana juga dengan calon anak muda, anak peneroka berusia 41 tahun kita, Sdr Mohd Sharim. Penglibatannya dalam politik serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) adalah sepenuhnya bertunjang di negeri ini.

Mengambil semangat inilah juga agaknya, Yayasan Pahang (YP) menetapkan bagi mana-mana pelajar berkelahiran luar Pahang tetapi bermastautin di negeri ini selama 10 tahun dan ke atas, adalah dikira layak – dengan mematuhi syarat-syarat am; untuk menerima bantuan-bantuan pendidikan yang dianjurkannya.

Atas semangat peribahasa ini juga, penulis tamsilkan pula kepada rakan penulis yang sangat rapat; berasal dari Ipoh kini berkhidmat dengan Kerajaan Negeri dan sudah bermastautin di Kuantan sejak 1989 lagi.

Sesudah lebih 30 tahun di bumi Tok Gajah ini, entah sudah berapa banyak nilai zakat - bukan setakat zakat fitrah, malah zakat harta; yang telah disumbangkannya ke negeri ini tanpa gagal setiap tahun.


SEPERTIMANA TERSIAR DALAM RUANGAN MINDA PEMBACA AKHBAR BERITA HARIAN... Artikel yang sama diolah semula dan tersiar pada Khamis, 16 Julai 2020'


PEGANG ERATLAH – ‘DI MANA BUMI DIPIJAK, DI SITU LANGIT DIJUNJUNG’

Dan rakan penulis yang amat rapat ini tidak pula pernah merungut mengenainya (sungguhpun – tentunya kita dapat fahami; diapun agak kecewa baru-baru ini kerana tidak dapat balik kampung berHari Raya di Ipoh, ekoran perintah larangan perjalanan rentas negeri akibat penularan wabak pandemik COVID-19).

Dan kerana inilah juga, seorang wakil rakyat dalam sebuah Dewan Negeri di
sebelah ‘utagha pada satu ketika dahulu, akhirnya terkedu dan tersipu lalu tunduk patuh apabila dititahkan ke atasnya peribahasa ini, setelah berdegil dengan perkara-perkara tertentu kerana kononnya dia bukan anak kelahiran negeri itu.

Maka, berpegang eratlah kita sama-sama kepada peribahasa ‘di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung’ ini – sama ada oleh kita yang berasal dari luar Pahang apatah lagi anak jati Pahang sendiri. – Khabar