Wednesday, 17 June 2020

Tak mungkin tak kukuh kewangan Pahang


… apabila hasil negeri tahun lepas (2019) meningkat 20 peratus menjadi RM847.3 juta, berbanding anggaran RM703.8 juta sepertimana nilai Belanjawan Negeri 2019.

BICARA MALAM RABU... 


KOMPLEKS PENYIARAN SULTAN AHMAD SHAH (KOMPSAS), KAMUNTING, KUANTAN – Hasil sebenar negeri tahun lepas (2019) ialah RM847.3 juta iaitu peningkatan 20 peratus berbanding anggaran hasil RM703.8 juta sepertimana nilai Belanjawan Negeri 2019.

Belanjawan Negeri 2019 tersebut pertama kali dibentangkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada Isnin, 19 November 2018, kira-kira enam (6) bulan selepas pelantikannya ke jawatan itu pada 15 Mei 2018.

Peningkatan hasil sebenar negeri ini tidak lain membuktikan keadaan kewangan Kerajaan Negeri kukuh, sekaligus membenam segala tohmahan tentang kedudukan kewangan negeri ini.

Perkara ini disentuh oleh Dato’ Sri Wan Rosdy sebagai menjawab soalan pengacara, Sdr Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar dalam rancangan ‘talk show’ malam Rabu, 17 Jun menerusi Stesen Televisyen RTM1.

Rancangan ‘Bicara Politikonomi’ selama sejam bermula 9 malam ini, disiarkan secara langsung dari lobi Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah (KOMPSAS) ini.

SOALAN DITANYA, BAKAL DIRUNGKAIKAN... Dato' Sri Wan Rosdy kelihatan tekun dan 'attentive' mendengar soalan yang dikemukakan.


‘MAGIS’

Mengenai peningkatan sehingga 20 peratus dalam hasil negeri ini, Sdr Sayed Munawar bertanyakan juga tentang ‘magis’ yang diguna oleh Dato’ Sri Wan Rosdy bagi mencapainya.

Menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, peningkatan dalam kadar cukai balak yang tidak dinaikkan sejak 31 tahun lepas lagi; ialah antara penyumbang utama kepada peningkatan hasil negeri itu.

Peningkatan dalam kadar cukai balak ini pula katanya, hanya melibatkan mereka dalam industri pembalakan itu sahaja tetapi tidak melibatkan rakyat-jelata secara am.

Sementelah pula katanya, negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Perak; telahpun menaikkan kadar cukai balak di negeri masing-masing sebanyak dua (2) kali manakala Pahang, hanya kali ini melakukannya. 

Sungguhpun begitu kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, kenaikan kadar cukai balak Pahang masih tidak setinggi yang dikenakan oleh ketiga-tiga negeri berkenaan.

DARI SISI YANG LAIN...


PERMOHONAN BAGI PEMBINAAN 6 LAGI ORS

Beberapa perkara lain turut ditanya dan dijawabnya termasuklah berkaitan bekalan air bersih terawat yang menurutnya, telahpun diambil tindakan secara berperingkat seperti di Raub dan Lipis, begitu juga di Chini, Pekan baru-baru ini.

Beberapa hari lepas katanya, beliau telah mengadakan kunjung hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamad yang antara lain, permohonan bagi pembinaan enam (6) lagi takungan air hiliran (ORS; Off River Storage) dikemukakan.

Jika permohonan ini berjaya menurutnya, keenam-enam ORS akan dilaksanakan pembinaannya di kawasan-kawasan menghadapi masalah bekalan air bersih terawat yang serius.

Mengenai penularan wabak pandemik COVID-19 pula katanya, Kerajaan Negeri bertindak berkesan termasuk mengguna-pakai peraturan ketat pada peringkat awal dahulu, seperti kebenaran waktu perniagaan hanya antara 7 pagi dan 7 petang, yang kemudian dituruti oleh beberapa negeri lain.

Dan Pahang juga katanya, mewajibkan mereka yang bebas daripada penyakit itu setelah rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) – hospital mengkhususkan wad bagi pesakit itu; supaya menjalani proses ‘step down’ lagi 14 hari di pusat-pusat jagaan ‘step down’, sebelum dibenarkan pulang ke rumah. – Khabar