Sunday 21 June 2020

Kawasan lebih 4,000 hektar sekitar Tasik Chini sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) sejak 13 Mac 2019 lagi


… keluasan bersamaan saiz hampir 6,000 padang bolasepak.

TASIK CHINI DAN SEKITARNYA... Saiz 6,000 X ganda padang bolasepak menjadi HSK Chini. Begitulah komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam memelihara alam sekitarnya. 
 

PUSAT MEDIA, KAMPUNG SALONG, PEKAN – Meneruskan komitmen pemeliharaan hutan termasuk di sekitar kawasan sensitif Tasik Chini, Pekan, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri 13 Mac 2019 menetapkan Dasar Khas bagi aktiviti perlombongan sekitar Tasik Chini di bawah Mukim Penyor ini.  

Antara intipati Dasar Khas berkenaan katanya, Kerajaan Negeri menetapkan tidak lagi meluluskan pajakan melombong baharu di sekitar tasik tersebut demi memelihara alam sekitarnya.

Sehubungan itu katanya yang mula menduduki kerusi Menteri Besar sejak 15 Mei 2018, Kerajaan Negeri bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,498 hektar di sekitar Tasik Chini tersebut sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Keluasan ini (4,498 hektar) ialah bersamaan saiz hampir 6,000 padang bolasepak berukuran 0.77 hektar atau 7,700 meter persegi (110 meter X 70 meter) setiap sebuah padang bolasepak tersebut.

Ini juga (HSK Chini) ialah sebahagian daripada keseluruhan HSK yang telah diwartakan di negeri ini seluas kira-kira 1.5 juta hektar – lebih luas daripada negeri Terengganu (1.3 juta hektar), menjadikan Pahang negeri memiliki kawasan HSK terluas di Semenanjung Malaysia.

ADUAN DITERIMA MENERUSI PANGGILAN TELEFON

“Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan agar sumber hutan kita ini yang tidak ternilai harganya, diuruskan secara mampan dan berkekalan,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri pagi Isnin, 4 November 2019 di Pantai Air Leleh, Kuala Pahang, Pekan.

Mengenai isu perlombongan haram di sekitar Tasik Chini ini, pelbagai usaha penguatkuasaan dilakukan termasuk tindakan bersepadu melibatkan beberapa jabatan kerajaan berkaitan misalnya pada petang Rabu, 20 Februari 2019 ekoran aduan mengenai aktiviti tersebut.

“Aduan diterima ialah menerusi panggilan telefon daripada seorang penyelidik yang bertugas di tasik tersebut pada 14 Februari, dan daripada JAS sehari selepas itu (15 Februari).

“Aduan oleh penyelidik berkenaan antara lain menyebut tentang aktiviti perlombongan yang tiba-tiba meningkat di sebuah daripada lombong yang ada di situ, yang telah melarat hingga menghampiri perairan Tasik Chini,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy dalam kenyataan media petang Khamis, 21 Februari 2019.

TINDAKAN BERSEPADU LIBATKAN PELBAGAI JABATAN/AGENSI

Penyelidik itu juga menurutnya, mengadu berlakunya pergerakan secara tiba-tiba lori-lori mengangkut tanah yang berkemungkinan bijih besi, masuk dan keluar di atas tapak Pusat Latihan Kemahiran Negara (PLKN) selepas jam 10 malam setiap hari.

Tindakan bersepadu itu melibatkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pekan telah dijalankan petang Rabu, 20 Februari 2019 ke tapak PLKN berkenaan dan kawasan lombong yang dimaksudkan.

Bagi menguatkan keberkesanan kerja-kerja penguatkuasaan, Kerajaan Negeri bersetuju membangunkan ‘Pangkalan Data Perhutanan – Teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS)’ dan pemantauan termasuk penggunaan Teknologi LIDAR (Light Detection Radar) bagi membanteras penerokaan tanah haram.

Semoga dengan usaha-usaha berterusan dan dipertingkatkan dari masa ke samasa ini, isu penerokaan haram mahupun perlombongan mencemarkan terutamanya di sekitar Tasik Chini yang sensitif ini, akan dapat dibendung dan diatasi secara berkesan. – Khabar