… saranan Menteri
Besar sempena PRK N23 Chini, bermula Hari Penamaan Calon pada 20 Jun
MELAYANI PERMINTAAN TEMUBUAL OLEH MEDIA... Dato' Sri Wan Rosdy ditemani Sdr Mohd Sharim dan Dato' Nazri Ngah ketika diminta untuk ditemubual oleh rakan-rakan media kita.
PUSAT LATIHAN
FELDA, CHINI, PEKAN
– Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyarankan semua pihak agar mematuhi
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam menghadapi Pilihanraya
Kecil (PRK) N23 Chini bermula esok, 20 Jun dengan Hari Penamaan Calon.
Pematuhan
ini penting, bagi mengelak penularan lebih meluas wabak pandemik COVID-19,
katanya kepada wartawan yang menemuinya pada hujung Program Cakna Koperasi dan
Majlis Penyerahan ‘Mock Cheque’ Bantuan Kecemasan Pandemik COVID-19 Koperasi
Negeri Pahang petang Jumaat, 19 Jun di sini.
“Saya ingin menyeru
kepada semua pihak, supaya mesti mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Dan ini
merupakan perkara yang sangat penting.
“Kalau tidak,
tidak mustahil gelombang kedua COVID-19 ini akan melanda negeri Pahang ini khususnya
di Chini. Lepas itu akan merebak ke tempat lain sebab ia mudah sangat
berjangkit,”
katanya.
“Suka atau tidak
suka,” katanya
lagi, “SOP ini wajib dipatuhi misalnya
pakai penutup mulut dan hidung, selalu bersihkan tangan, jaga kesihatan,
penjarakan sosial. Itu sangat penting”.
TIADA MODAL JADI
MENIPU
Beliau
yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri serta Barisan Nasional (BN)
Negeri turut menyarankan agar kira-kira 21,000 pengundi di sini supaya tidak
mudah tertipu dengan janji, serta juga fitnah yang mungkin dibuat pada PRK kali
ini.
“Sungguhpun
Pakatan Harapan tidak ada calon kali ini; sekiranya ada pertandingan mungkin (kerana)
ada calon bebas; mereka mungkin akan menggunakan formula yang sama – iaitu cuba
menipu dan memfitnah.
“Kerana mereka
tidak ada modal jadi mereka gunakan perkara-perkara macam itulah,” kata Dato’ Sri
Wan Rosdy lagi yang turut ditemani calon BN, anak peneroka atau generasi kedua
FELDA, Sdr Mohd Sharim Md Zain.
Pada
program dan majlis sebelum itu, beliau bagi pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia
(SKM) Pahang menyerahkan kepada 38 penerima dalam kalangan koperasi, tiga (3)
jenis bantuan bernilai keseluruhan, RM4.24 juta.
Ketiga-tiga
jenis bantuan itu ialah Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBBK) kepada 24
penerima bernilai, RM105,000; Bantuan Geran Pembangunan SKM kepada lapan (8)
penerima bernilai, RM695,000; dan, Pinjaman melalui Tabung Modal Pusingan TMP-JPK
kepada enam (6) penerima bernilai, RM3.44 juta.
KOPERASI DI PAHANG
PUNYAI ASET BERNILAI RM1,500 JUTA
Adalah
difahamkan, gerakan koperasi di negeri ini adalah besar, mencakupi 1,146 buah
koperasi, 290,684 ahli, RM296.9 juta modal syer, dan RM1,500 juta (RM1.5
billion) nilai asset.
Selain
calon BN PRK N23 Chini, Sdr Mohd Sharim Md Zain; antara yang turut hadir ialah
Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak serta Pengerusi
Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,
Dato’ Nazri Ngah. – Khabar