Thursday, 11 June 2020

Premis dan aktiviti perniagaan kini boleh beroperasi bermula 7 pagi hingga 10 malam


“Keputusan terbaharu ini saya harap memadai setakat ini. Semakan akan dibuat dari masa ke semasa berpandukan tahap ancaman wabak pandemik COVID-19 di Pahang dan menurut keperluan semasa, termasuk aspek kepatuhan rakyat terhadap garis panduan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang Kerajaan tetapkan, In Sya Allah,” kata Menteri Besar.

... SAYA HARAP MEMADAI SETAKAT INI...  


KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Premis dan aktiviti perniagaan kini boleh beroperasi bermula 7 pagi hingga 10 malam

Setelah mengeluarkan kenyataan media tentang Garis Panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Negeri Pahang tengah hari semalam, saya menerima maklum-balas khususnya dalam kalangan peniaga kedai makan dan persatuan-persatuan berkenaan, mengenai tempoh operasi ditetapkan bermula 7 pagi hingga 9.30 malam.

Kerajaan Negeri mengambil berat atas maklum-balas ini dan setelah perbincangan lanjut dengan YB Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, serta agensi-agensi termasuk Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri;

Sukacita saya umumkan tempoh operasi semua premis dan aktiviti perniagaan kini bermula 7 pagi hingga 10 malam kecuali bagi sektor yang dibenarkan (perkhidmatan ‘essential’) mengikut kelulusan lesen perniagaan asal seperti stesen minyak, kilang dan klinik.

Keputusan terbaharu ini saya harap memadai setakat ini. Semakan akan dibuat dari masa ke semasa berpandukan tahap ancaman wabak pandemik COVID-19 di Pahang dan menurut keperluan semasa, termasuk aspek kepatuhan rakyat terhadap garis panduan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang Kerajaan tetapkan, In Sya Allah.

Saya juga berharap, kita tidak hilang fokus sebaliknya terus memberi tumpuan dalam menjayakan langkah-langkah bagi membendung wabak pandemik ini yang masih menggugat kesihatan awam di dunia, negara dan negeri ini.


DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
11 Jun 2020 – Khabar