Friday 5 June 2020

Isu pemberhentian pekerja ASSB selesai


… pekerja-pekerja kilang di MCKIP itu diberi dua (2) tawaran

MCKIP DI GEBENG...


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Isu pemberhentian pekerja kilang Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng dekat sini selesai, selepas kedua-dua pihak – ASSB dan pekerja, mencapai kata putus, bersetuju dengan dua (2) pilihan yang ditawarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain berkata, keputusan itu dicapai pada dua (2) mesyuarat hampir empat (4) jam bersama wakil pekerja terlibat serta pengurusan tertinggi ASSB.

Katanya, ASSB bersetuju dengan permintaan pekerja supaya dibayar pampasan kepada mereka yang bersetuju diberhentikan, manakala pilihan kedua ialah pekerja yang ingin kembali berkhidmat di kilang itu dibenarkan berbuat demikian.

“Pengurusan ASSB juga memberi komitmen bahawa mereka akan menerima dan melayan pekerja yang ingin kembali dengan adil dan saksama, namun mengharapkan pekerja terlibat juga mengambil inisiatif berhenti menularkan perkara yang tidak benar tentang pengurusan kilang.

“Berhubung soal pampasan kepada pekerja yang diberhentikan, ASSB bersetuju membuat pengiraan berdasarkan peruntukan Akta Kerja 1955 dan mungkin mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan yang terlibat bagi tujuan itu, selain dipantau oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

CUMA 380 PEKERJA RAKYAT TEMPATAN DIHENTIKAN

Dato’ Sri Mohd Johari berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Wisma Sri Pahang pada Jumaat, 5 Jun 2020, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Teknologi ASSB, Encik Steve Hu, Pengarah, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri, Encik Pezman Che Hussin; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan Beserah, Encik Andansura Rabu.

Berdasarkan maklumat diberikan ASSB, Dato’ Sri Mohd Johari berkata, seramai 380 pekerja tempatan diberhentikan kerja selepas didakwa enggan menerima tawaran untuk tinggal di asrama jika mahu terus bekerja atau mengambil cuti tanpa gaji. Tetapi, 182 orang daripada jumlah itu setuju untuk kembali bekerja.

“Kita juga sudah meminta ASSB untuk mengkaji semula syarat yang mewajibkan pekerja tinggal di asrama jika mahu bekerja kerana kita faham mereka bimbang berlaku COVID-19 dalam kilang.

“Namun perlu ada kaedah saringan keluar masuk yang lebih baik. Untuk itu, kita mencadangkan mereka meminta bantuan agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan.

“Selain itu, kita juga mencadangkan supaya pengurusan ASSB membenarkan penubuhan kesatuan pekerja supaya apa juga isu yang timbul dapat dibincangkan dengan baik sebelum pihak pengurusan membuat keputusan agar ia tidak menimbulkan keresahan kepada pihak terlibat,” katanya.

Selain 2,938 pekerja warga tempatan, ASSB yang merupakan pelabur terbesar di MCKIP itu juga mempunyai 1,849 pekerja warga China dengan 314 orang daripadanya telah ditamatkan kerja atau berhenti secara sukarela. – BERNAMA/Khabar