Saturday, 20 June 2020

Jentera BN siap-siaga, sedia hadapi cabaran bertanding PRK N23 Chini


“… jentera BN yang sentiasa bersiap-siaga, akan terus digerakkan demi memastikan calonnya, Sdr Mohd Sharim - anak peneroka dalam kalangan generasi kedua FELDA, menang pada PRK ini dengan majoriti besar,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

CALON BN KITA, SDR MOHD SHARIM MD ZAIN... Tiba ke Pusat Penamaan Calon bagi PRK N23 Chini di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Cherok Paloh, Pekan. Di sebelah kirinya ialah Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Encik Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang menyokong pencalonannya.  

Selepas tempoh jam 10 pagi, Pegawai Pengurus Pilihanraya, Dato' Zaliza Zulkifli kemudian mengumumkan pada 10.30 pagi, pertandingan tiga (3) penjuru melibatkan Sdr Mohd Sharim, 41, serta dua (2) lagi calon bebas - Dato' Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Encik Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.  


KENYATAAN MEDIA
PENGERUSI
BARISAN NASIONAL (BN) NEGERI PAHANG/BADAN PERHUBUNGAN UMNO NEGERI PAHANG

Jentera BN siap-siaga, sedia hadapi cabaran bertanding PRK N23 Chini

Saya menyambut baik penyertaan calon-calon bebas menentang calon Barisan Nasional (BN), Sdr Mohd Sharim Md Zain pada Pilihanraya Kecil (PRK) N 23 Chini ini.

Sungguhpun saya berharap tiada pertandingan memandangkan negara dan negeri masih dibelenggu wabak pandemik COVID-19, namun tidak menjadi kenyataan.

Oleh itu, jentera BN yang sentiasa bersiap-siaga, akan terus digerakkan demi memastikan calonnya, Sdr Mohd Sharim - anak peneroka dalam kalangan generasi kedua FELDA, menang pada PRK ini dengan majoriti besar.

Saya ingin mengingatkan calon-calon bebas atau pihak-pihak yang menyokong mereka, agar mengamalkan kempen secara sihat khususnya tidak melakukan perbuatan keji seperti membuat tohmahan dan fitnah-memfitnah.

Sambil itu berharap, calon-calon dan penyokong, dapat sentiasa akur kepada segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan agar wabak pandemik COVID-19 tidak menular lebih meluas semasa dan selepas PRK N23 Chini ini, Na'uzubillah.


DATO' SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Pengerusi,
BN Negeri Pahang/Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang
20 Jun 2020 


MENZIARAHI KUBUR ALLAHYARHAM DATO' SRI ABU BAKAR... Sdr Mohd Sharim menziarahi kubur 'mentor'nya, bekas Ahli Dewan Negeri kawasan Chini, Allahyarham Dato' Sri Abu Bakar Harun di Tanah Perkuburan Islam, Rancangan Tanah Felda Chini 5, Pekan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. – Khabar