Sunday 7 June 2020

Kepemimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy terus berkesan, terserlah!

... pembangunan sosio-ekonomi negeri ditingkatkan, kestabilan dan penguasaan politik terus dipertahankan;

Demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat-jelata.


YANG UZUR DAN MEMERLUKAN, SENTIASA DIZIARAHI TANPA MENURUT MUSIM... Sempena lawatan ke Dewan Negeri (DN) kawasan Chini pada 13 Mac 2019 khusus bagi meninjau isu bekalan air di sana, Dato' Sri Wan Rosdy turut mengambil kesempatan menziarahi yang uzur dan memerlukan sepertimana terpancar pada foto ini. 


Selain bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan itu sendiri - Allahyarham Dato' Sri Abu Bakar Harun (kanan sekali); yang turut kelihatan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas Negeri, Dato' Sri Norolazali Sulaiman. 
 

Nota Editor ;

Alhamdulillah, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah perkenan melanjutkan perkhidmatan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkuatkuasa 15 Mei lepas (2020) hinggalah ke tarikh Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 sekarang dibubarkan, atau dalam ertikata lain, sehinggalah ke Pilihanraya Umum (PRU)-15 akan datang.

Asalnya, ketika mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ketika itu ialah KDYMM Pemangku Raja Pahang, di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Bandar DiRaja Pekan pada 15 Mei 2018; tempoh perkhidmatan Menteri Besar yang diumumkan ialah untuk selama dua (2) tahun yang dengan itu sepatutnya berakhir pada 14 Mei 2020 atau genap tempoh dua (2) tahun berkenaan.

Tentang rasional tempoh dua (2) tahun itu, laporan BERNAMA bertarikh 24 Mei 2018 antara lain mengungkap titah Baginda; “Antaranya saya tidak mahu mereka berada dalam dalam keadaan selesa, lena dan leka. Saya nak mereka bekerja keras... kalau tidak berpuas hati, kita akan semak semula”.

Pelanjutan tempoh perkhidmatan sehingga DN Pahang ke-14 dibubarkan dengan itu, tentunya satu petanda positif dan membanggakan, lanjutan kepada rasional pengenaan tempoh perkhidmatan dua (2) tahun sebelumnya.

Selain Dato’ Sri Wan Rosdy, lapan (8) Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri lain turut mengangkat sumpah jawatan pada Istiadat sama 15 Mei 2018 itu. Pada 5 Jun 2018 pula, dua (2) lagi Ahli MMK Negeri mengangkat sumpah jawatan, dengan itu mencukupkan 11 Ahli MMK sepertimana diperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Pelanjutan tempoh perkhidmatan ini bukan sahaja tertakluk kepada jawatan Menteri Besar tetapi juga kepada kesemua 10 Ahli MMK Negeri yang lain iaitu; Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Dato’ Nazri Ngah, dan Encik Abd Rahim Muda.

Berikut sama-samalah kita menelusuri perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri lebih dua (2) tahun kini, di bawah kepemimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy yang merupakan Menteri Besar Pahang ke-15 kita.


NUN DI SANA... Seolah-olah kata Dato' Sri Wan Rosdy kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak yang juga Pengerusi, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) semasa meninjau pula ke muka sauk yang berada kira-kira tiga (3) KM dari LRA Chini pada petang 13 Mac 2019.


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, BANDAR INDERA MAHKOTA, KUANTANMasih tetap membanggakan, sama ada daripada segi kepemimpinan Kerajaan mahupun politik. Inilah rumusan yang boleh dibuat kepada Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail setelah lebih dua (2) tahun beliau menerajui Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Barisan Nasional (BN).

Ini disebalik pelbagai cabaran Kerajaan Negeri hadapi sebagai Kerajaan Pembangkang, apabila berdepan parti memerintah Pakatan Harapan (PH) yang menguasai Kerajaan Persekutuan.

Sehinggalah kini, sejak Isnin, 24 Februari 2020 apabila Kerajaan Persekutuan 22-bulan PH itu tumbang dengan peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad, digantikan kemudian dengan Perikatan Nasional (PN), yang turut dianggotai oleh BN campur Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Muafakat Nasional (MN) dianggotai UMNO dan PAS, serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lagi.

Bermula dengan perkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang yang kini ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang juga KDYMM Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Dato’ Sri Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang ke-15 pada Istiadat di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan 15 Mei 2018.

Sejak pelantikan tidak diduganya itu, Dato’ Sri Wan Rosdy tidak menoleh ke belakang lagi melainkan terus melakar strategi untuk mengisi secara berkesan jawatan yang diwarisi daripada ‘mentor’nya – Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, yang telah memimpin negeri kurang 10 hari, 19 tahun.

SUDAH BAGUS CUMA MAHU DIPERTINGKATKAN LAGI

Pada persidangan media hari pertama beliau ‘clock-in’ sebagai Menteri Besar di Wisma Sri Pahang pagi Rabu, 16 Mei 2018, Dato’ Sri Wan Rosdy ditanya tentang matlamat yang menurutnya, beliau akan berusaha untuk meningkatkan sistem penyampaian dalam perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat.

“Sistem yang ada sudah bagus cuma cuba pertingkatkan lagi, kita (cuba) memudahkanlah. Sebagai contoh, kalau (sesuatu urusan itu) mengambil masa, kita cuba percepatkan asalkan tidak lari daripada peraturan dan undang-undang,” katanya.

Ternyata, beliau bukan seorang yang suka bermain dengan kata-kata. Apa yang dikata, dikotanya maka hanya pada 1 Ogos atau tak sampaipun tiga (3) bulan kemudian, beliau umumkan penurunan kuasa bagi kelulusan kebenaran (consent) berkaitan pindah milik dan gadaian tanah.

Sebelumnya, kuasa bagi kelulusan kebenaran ini berpusat kepada Pihak Berkuasa Negeri/Menteri Besar yang melambatkan, tetapi kini diturunkan hingga ke peringkat Pejabat Daerah dan Tanah masing-masing.

Inisiatif ini dilaksanakan selepas Dato’ Sri Wan Rosdy mendengar keluhan pelbagai pihak antaranya para peguam dan orangramai yang terlibat dengan urusan pindah milik ini, yang dulunya memakan masa melebihi tiga (3) hingga empat (4) bulan, malah ada yang bertahun-tahun.

PENUBUHAN ‘PAHANG CORP’

Selesai dengan masalah tersebut, beliau memperkenalkan pelbagai inisiatif lagi termasuk bagi meningkatkan hasil negeri, dengan antara lain menetapkan Indeks Pencapaian Utama (KPI) bagi kutipan hasil tanah perlu mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus.

Beliau turut memberi fokus kepada peranan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) terutamanya daripada segi tanggung jawab dan pendapatan tahunan yang diraih; dengan mewujudkan Pahang Corporation – berfungsi antara lain, mengawal selia prestasi mereka dan beliau turut menetapkan sebahagian daripada keuntungan tahunan S-GLC ini perlulah disumbangkan kepada Kerajaan Negeri.

Dalam tempoh tahun pertama beliau menjadi Menteri Besar lagi, kepemimpinan beliau turut terserlah dalam bidang politik yang mana beliau juga ialah Pengerusi BN dan Badan Perhubungan UMNO Negeri, selain Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.

Atas kedudukan ini, beliau – dengan ketokohannya tersendiri dan ‘kurang bercakap’, turut berjaya mengetuai jentera parti pada Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan Cameron Highlands pada 26 Januari 2019 dengan bergaya apabila calon BN menang besar.

Pada PRK inilah pertama kalinya pula – setelah perseteruan berdekad-dekad lamanya, telah wujud kerjasama ‘real’, jujur dan kukuh antara UMNO dengan PAS, yang menjadi antara faktor utama kemenangan tersebut.

KERJASAMA IKHLAS UMNO/PAS TERSERLAH

Kerjasama ini terus menyerlah apabila pada 26 April 2019 pula, sebuah Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) Pahang melibatkan lebih 10,000 kehadiran di Padang MPK 1, Kuanta, berjaya diadakan yang turut disertai oleh pemimpin-pemimpin utama UMNO dan PAS.

Memasuki tahun kedua beliau sebagai Menteri Besar, negara dan negeri dilanda kesedihan dengan kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah pada usia 89 tahun pagi Rabu, 22 Mei 2019 bersamaan Nuzul Quran, 17 Ramadan 1440 Hijrah, di Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Namun, kira-kira dua (2) bulan selepas itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddian Al-Mustafa Billah Shah ditabal sebagai KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada Selasa, 30 Julai 2019. Baginda dilantik ke takhta negara sejak 31 Januari 2019 lagi.   

Lagi khabar gembira apabila Kabinet Kerajaan Persekutuan meluluskan kenaikan taraf Kuantan sebagai sebuah bandaraya yang disampaikan kepadanya menerusi surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Dato’ Sri Wan Rosdy mengumumkannya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) tengah hari Selasa, 25 Jun 2019. 

Khabar gembira menyusul lagi apabila dalam tempoh tidak sampaipun dua (2) bulan antara Ogos dan September 2019, Pahang di bawah Dato’ Sri Wan Rosdy menerima komitmen pelaburan asing kira-kira RM 2,520 juta (RM2.52 billion)!

TARIK PELABURAN ASING RM3,733 JUTA @ RM3.733 BILLION DARI SINGAPURA, CHINA, THAILAND

Ini berdasarkan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 11 syarikat dari Singapura pada 2 Ogos 2019 sebanyak kira-kira RM1,134 juta (RM1.134 billion); dan dengan enam (6) syarikat dari China pada 20 September 2019 sebanyak RM1,386 juta (RM1.386 billion).

Komitmen pelaburan ini diperolehi menerusi misi perdagangan Kerajaan Negeri ke Singapura selama dua hari pada Khamis 1 Ogos dan Jumaat 2 Ogos 2019 bersempena Forum Pelaburan Pahang (PIF) 2019.

Majlis menandantangani MoU dengan enam (6) syarikat China pula berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Nanning, Republik Rakyat China tengah hari Jumaat, 20 September tahun sama (2019).

MoU ini ditandatangani semasa Dato’ Sti Wan Rosdy mengetuai rombongan Kerajaan Negeri dalam lawatan kerja, termasuk ke Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) – taman perindustrian berkembar kepada Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), serta menghadiri China-ASEAN Exposition (CAEXPO) Nanning 2019.

Dan pada pagi Jumaat, 6 Mac 2020 pula, beliau mengetuai delegasi perdagangan negeri ke Bangkok, Thailand dan berjaya menarik pelaburan bernilai RM1,213 juta (RM1.213 billion) dengan termeterainya Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelabur-pelabur negara itu.  

PERBELANJAAN PEMBANGUNAN DARIPADA KERAJAAN PUSAT

Sungguhpun Dato’ Sri Wan Rosdy mengetuai Kerajaan Pembangkang dalam konteks hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan PH ketika itu, namun kemesraan dan sikap profesionalisme tingginya menyaksikan Pahang tidak dipinggirkan.

Ini sepertimana pada 16 Ogos 2019, apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Sri Azmin Ali yang melawat Pahang dan mengadakan Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 – 2025) ketika itu, mengumumkan bahawa;

Kerajaan Persekutuan meluluskan Perbelanjaan Pembangunan (DE) kira-kira RM2,410 juta (RM2.41 billion) untuk pelaksanaan pelbagai lagi projek pembangunan di Pahang di bawah Rolling Plan 4 (RP4) 2019, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) (2016-2020).

Kepemimpinan beliau juga memperlihatkan ketokohan sebagai seorang yang tegas dan berprinsip sepertimana pada 3 Oktober 2019, meluahkan bantahan Kerajaan Negeri terhadap usaha oleh pengurusan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) untuk menutup Kampus Sultan Hj Ahmad Shah (KSHAS)nya di Bandar Muadzam Shah, Rompin.

Ekoran itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) sendiri – pemilik UNITEN, mengeluarkan kenyataan tentang pembatalan hasrat penutupan tersebut.

KEBAJIKAN ORANG ASLI TERUS TERPELIHARA

Kehidupan dan kebajikan masyarakat Orang Asli turut diberi perhatian. Pada 15 Oktober 2019 semasa lawatan dan pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama-sama Masyarakat Orang Asli di Padang Awam, Pos Iskandar, Bera beliau berkata;

“… pokok-pangkalnya di sini; Kerajaan Negeri telahpun memperuntukkan tanah rizab kepada masyarakat Orang Asli di negeri Pahang yang mana penduduknya tidak sampai enam (6) peratuspun daripada jumlah penduduk negeri Pahang yang seramai 1.6 juta (orang)”.

Sebagai meneruskan lagi komitmen Kerajaan Negeri dalam usaha pemeliharaan hutan, Dato’ Sri Wan Rosdy turut memaklumkan betapa 132,212.58 hektar kawasan di negeri ini telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air.

Hutan Tadahan Air ini ialah di bawah pengelasan Hutan Perlindungan yang bermakna, tiada langsung penebangan pokok apatah pula pengeluaran balak dibenarkan di kawasan ini.

Dengan tambahan lagi 132,212.58 hektar ini sepertimana keputusan yang dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri ke-13/2019 pada 8 Mei lepas katanya;

TIADA LAGI KELULUSAN PAJAKAN MELOMBONG BAHARU SEKITAR TASIK CHINI

“… telah menambahkan lagi keluasan Hutan Tadahan Air sedia ada kira-kira 258,951.88 hektar, yang secara keseluruhannya menjadikan Hutan Tadahan Air di negeri ini menjadi kira-kira 386,971.14 hektar atau tiga (3) kali ganda keluasan seluruh negeri Pulau Pinang (yang seluas kira-kira 103,104 hektar)”.

Ini dikatakannya dalam ucapan merasmikan majlis ‘dua dalam satu’ Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri pagi Isnin, 4 November di Kampung Air Leleh, Kuala Pahang, Pekan.

Pada MMK Negeri ke 9/2019 pada 18 Mac lepas (2019) pula katanya, telah bersetuju melaksanakan cadangan pewujudan Dasar Khas bagi perlombongan sekitar Tasik Chini, Mukim Penyur, daerah Pekan, seterusnya tidak lagi meluluskan pajakan melombong baharu di sekitar Tasik Chini tersebut.

Sehubungan itu juga katanya, Kerajaan Negeri bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,497.25 hektar di sekitar Tasik Chini tersebut sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).

“Jangan akibat ketidak-pandaian kita generasi sekarang dalam menguruskan hutan kita ini, sampai anak cucu kita dan generasi seterusnya mengutuk kita yang kerana kecuaian kita sendiri,” tegasnya.

KOMITMEN TINGGI LESTARIKAN PEMBANGUNAN CAMERON HIGHLANDS  

Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan beliau juga terus komited dalam usaha memelihara dan memulihara, serta membangunkan kawasan tanahtingggi Cameron Highlands secara lebih lestari.

Komitmen ini turut dinyatakannya pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama olehnya dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Bangunan Utama, Parlimen Malaysia pagi Isnin, 9 Disember 2019.

Bagi memastikan perancangan pembangunan yang mampan serta lestari di Cameron Highlands ini, sebuah perbadanan khusus telah diwujudkan dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH).

Selain berperanan mempromosi daerah Cameron Highlands sebagai pusat perdagangan, pelaburan dan logistik serta destinasi pelancongan, PKCH juga antara lain turut berperanan untuk merangsang pembangunan sosio-ekonomi, infrasturktur, kediaman dan pertanian.

Daripada segi hal kewangan negeri pula, Dato’ Sri Wan Rosdy telah membentangkan Belanjawan Negeri 2020 bernilai RM744.02 juta pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri ke-14 pagi Isnin, 18 November 2019 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.

SASARAN BINA 10,000 LAGI UNIT RUMAH MAKMUR

Ini merupakan pembentangan Belanjawan Negeri kedua beliau lakukan, sejak dilantik sebagai Menteri Besar. Kali pertama membentangkannya ialah pada Isnin, 19 November 2018 – hanya kira-kira enam (6) bulan selepas mengemudi negeri, yang bernilai RM703.80 juta.

Dengan RM744.02 juta yang diperuntukkan bagi Belanjawan Negeri 2020 ini bermakna peningkatan RM40.22 juta berbanding Belanjawan Negeri 2019 yang bernilai RM703.80 juta.

Hal-hal perumahan rakyat juga diusahakannya sementelah pula beliau ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan semasa masih menjadi Ahli MMK di bawah pentadbiran Dato’ Sri DiRaja Adnan sebelumnya.    

Ketika melancarkan Perumahan Rumah Makmur – rumah teres RM80,000 seunit bagi golongan rakyat berpendapatan bulanan seisi rumah RM5,000 ke bawah di Kampung Tiram, Kuantan pada Ahad, 24 November 2019, beliau menyatakan kegembiraannya kerana skim perumahan tersebut mendapat sambutan hangat rakyat untuk memilikinya.

Menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, Kerajaan Negeri kini menyasarkan agar sebanyak 10,000 unit Rumah Makmur dibina di negeri ini yang setakat ini, 7,088 unit telahpun diluluskan pembinaannya.

KERAJAAN PRIHATIN; KURANG 80 PERATUS KE ATAS CUKAI TANAH BAHARU

Adalah lumrah manusia untuk merungut atas perkara-perkara yang dilihatnya tidak adil yang berlaku ke atasnya. Namun sesudah diberi penjelasan dan mereka memahaminya, rungutanpun terhenti lalu mereka dapat menerimanya.

Begitulah juga yang berlaku dalam isu berkaitan pengenalan kadar cukai tanah baharu yang Kerajaan Pahang perkenal dan wartakan, berkuatkuasa 1 Januari 2020. Ini bagi memenuhi keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) pada 14 Disember 2015 lagi yang mengarahkan Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri membuat semakan semula pada kadar cukai tanah di negeri masing-masing.

Ekoran itu, negeri-negeri seperti Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan telah membuat semakan semula tersebut dan Pahang, hanya melaksanakannya pada awal tahun 2020, dengan menyelaraskan dua (2) kadar kiraan cukai berbeza yang digunapakai sebelum ini iaitu kadar tahun 1994 atau kira-kira 26 tahun lepas, dan kadar tahun 2007 atau kira-kira 12 tahun lepas.

Sebagai Kerajaan yang sentiasa ‘responsive’, ia bertindak segera kepada rungutan dan rayuan dengan mengumumkan pada petang Rabu, 22 Januari 2020, pelbagai remisen atau pengurangan ke atas pelbagai kategori tanah seperti remisen atau pengurangan sehingga 80 peratus kepada pelbagai kategori termasuk tanah industri di Gebeng, Kuantan; Genting Highlands, Bentong; dan di daerah-daerah lain.

Menerusinya, kadar cukai tanah baharu bagi Gebeng turun kepada hanya RM1 bagi semeter persegi; Genting Highlands turun kepada hanya 80 sen semeter persegi; dan di daerah-daerah lain turun kepada hanya 50 sen semeter persegi.  

PENEROKA FELDA, PENDUDUK KAMPUNG TAK TERKESAN DENGAN CUKAI TANAH BAHARU

Bagi tanah di bawah kategori bangunan termasuk kediaman, serta pertanian kurang 4.05 hektar (10 ekar) yang melibatkan peneroka Rancangan Tanah Felda dan penduduk kampung bagaimanapun, tidak terkesan dengan penetapan kadar cukai tanah baharu 2020 ini.

Malah, bagi tanah pertanian melibatkan peneroka Felda ini – selain tidak berlaku kenaikan; mereka yang sepatutnya membayar cukai RM540 setahun telah dikurangkan kepada cuma RM270 setahun ekoran remisen atau pengurangan RM270 yang sejak sekian lama sehingga kini, Kerajaan Negeri terus-menerus bermurah hati berikan kepada mereka.

Bagi mengatasi masalah pembekalan air dirawat yang rakyat Pahang hadapi termasuk di Dewan Negeri kawasan Chini, beliau telah menyarankan Kerajaan Persekutuan pimpinan PH ketika itu, supaya kembali meluluskan peruntukan RM12 juta yang diberhentikan selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke-14, bagi pembinaan kolam takungan air baharu di Loji Rawatan Air (LRA) Chini.

Pembinaan kolam takungan air baharu ini menurut Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, ialah rancangan jangka pendek untuk mengatasi masalah bekalan air yang melibatkan seluruh kawasan Chini.

“… sebelum ini ada kelulusan tetapi telah diberhentikan dan saya difahamkan, ada sejumlah peruntukan lebih kurang RM12 juta melalui Felda, untuk membuat takungan air yang baharu dan saya minta supaya dapat disegerakan.

AMBIL TINDAKAN ATAS MASALAH BEKALAN AIR DIRAWAT

“Kerana ianya sangat diperlukan (terutamanya) apabila berlakunya musim kemarau (sepertimana yang dialami sekarang),” katanya kepada wartawan pada akhir lawatan kerja meninjau masalah pembekalan air berkenaan petang Rabu, 13 Mac 2019, di Dewan Semai Bakti, Rancangan Tanah Felda Chini 3, Pekan.

Pada 23 April 2020, beliau telah umumkan projek RM18 juta atasi kekeruhan air mentah  ke Loji Rawatan Air daerah Raub & RM12 juta atasi masalah bekalan air semasa musim panas daerah Lipis.

Menerusi peruntukan RM18 juta Kerajaan Persekutuan, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) sedang melaksanakan kerja-kerja berkaitan khususnya pembinaan ‘Pre-Sedimentation Tank’ yang melibatkan LRA-LRA Sungai Bilut, Sungai Semantan dan Sungai Klau.

Projek ini dijangka mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan, meliputi kerja-kerja reka bentuk dan perolehan (selama enam (6) bulan), disusuli pembinaan (selama 12 bulan).

Mengenai projek RM12 juta daripada peruntukan Kerajaan Negeri bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi sungguhpun semasa musim panas, PAIP akan segera melaksanakan projek perintis pembinaan ‘Off River Storage’ (ORS) atau Kolam Takungan Hiliran di Lipis.

29 INISIATIF, LEBIH RM26.4 JUTA BANTU RAKYAT TERKESAN PKP, PKPB  

Projek ini pula dijangka mengambil masa 19 bulan untuk disiapkan, meliputi kerja-kerja reka bentuk dan perolehan (selama empat (4) bulan, disusuli pembinaan (selama 15 bulan).

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (bermula 18 Mac 2020) sehinggalah tempoh Perintah Kewalan Pergerakan Bersyarat (bermula 4 Mei 2020 sehingga 9 Jun 2020) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy telah memperkenal dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat-jelata khususnya yang terkesan teruk dengannya.

Sebanyak 29 inisiatif diumum dan dilaksanakan dalam lima (5) Fasa; Fasa 1, sebanyak lapan (8) inisiatif (diumumkan pada 23 Mac 2020); Fasa 2, sebanyak lima (5) inisiatif (diumumkan pada 30 Mac 2020); Fasa 3, sebanyak sembilan (9) inisiatif (diumumkan pada 8 April 2020); Fasa 4, sebanyak enam (6) inisiatif (diumumkan pada 22 April 2020) dan Fasa 5 dilaksanakan seminggu-dua menjelang Hari Raya Aidil Fitri lepas (Ahad, 24 Mei 2020).

Nilai peruntukan/implikasi kewangan yang Kerajaan Negeri tanggung bagi kesemua 29 inisiatif ini ialah lebih RM26.4 juta (RM26,436,270) melibatkan keseluruhannya kira-kira 141,894 Ketua Isi Rumah (K.I.R) atau kira-kira 38.79 peratus daripada kesemua 365,800 Ketua Isi Rumah di negeri ini.

Antara inisiatif-inisiatif ini ialah peruntukan RM3.587 juta sebagai pemberian bantuan khas tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM150 dan barangan makanan seperti beras, tepung dan gula bernilai RM50 seorang.

TURUT ADA PERUNTUKAN KHAS WAKIL RAKYAT TERMASUK PEMBANGKANG

Juga ialah peruntukan khas kepada setiap 42 Ahli Dewan Negeri di Pahang – tanpa mengira parti pemerintah atau pembangkang; bernilai RM252,000.

Dan menjelang Hari Raya lepas juga, Bantuan Khas Aidil Fitri RM500 untuk 8,000 penjawat awam Pahang yang dibayar pada 19 Mei 2020, melibatkan kira-kira RM4 juta. Penjawat awam yang dimaksudkan ialah daripada Gred JUSA dan ke bawah

Begitulah menyeluruh dan berkesannya usaha yang dirangka dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy selama lebih dua (2) tahun kini, yang didoakan akan terus berkesan dan cemerlang demi terus memelihara kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat-jelata Pahang juga, insyaAllah. – Khabar