Monday, 22 June 2020

Penempatan Semula Nelayan (PSN) siap; Nelayan pemilik rumah banglo setingkat harga cuma RM35,000 sebuah, terima kunci


“Projek ini telah terbengkalai sekian lama, dan Kerajaan Negeri tidak berputus asa untuk terus mencari ruang supaya projek ini dapat diselesaikan dan terbukti diselesaikan hari ini,” kata Menteri Besar.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS (OFF-THE-CUFF) 28-MINITNYA... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri Dr Salehuddin (duduk, kanan sekali), yang turut kelihatan dalam foto bagi majlis pagi Isnin ini ialah Setiausaha, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato' Sri Abdul Hamid Nazahar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuantan (di belakang Dato' Sri Dr Salehuddin).
  

PENEMPATAN SEMULA NELAYAN (PSN) BUNUT RENDANG, KUANTAN – Setelah terbengkalai sekian lama akhirnya program perumahan Kerajaan Negeri – Penempatan Semula Nelayan (PNS) Bunut Rendang ini siap, dan pemiliknya dalam kalangan nelayan tempatan menerima kunci rumah mereka hari ini.

“Projek ini telah terbengkalai sekian lama tetapi Kerajaan Negeri tidak berputus asa untuk terus mencari ruang supaya projek ini dapat diselesaikan dan terbukti diselesaikan hari ini.

“Saya seharusnya ucapkan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan dan rakan-rakan terutama sekali Exco Pertanian (Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri) yang sekarang ini dipengerusikan oleh YB Dato’ Sri Ir Mohd Soffi.

“Yang mana usaha mereka tak jemu-jemulah dan hari ini kita dapat merealisasikan,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada persidangan media sempena Majlis Penyerahan Projek dan Serah Kunci PSN Bunut Rendang ini pagi Isnin, 22 Jun.

Beliau juga ucapkan terima kasih kepada beberapa lagi pihak termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Agrobank, yang turut membantu dalam merealisasikan projek perumahan ini.

BERAKAD, SERAH KUNCI RUMAHLAH SUDAH... Seorang dalam kalangan nelayan sedang menerima 'mock key' daripada Dato' Sri Wan Rosdy. 


AGROBANK BERI KEMUDAHAN PINJAMAN SEHINGGA 110 PERATUS

Agrobank misalnya, telah membantu dalam memudahkan pembiayaan sehingga memberi pinjaman 110 peratus daripada harga rumah sebuah bernilai RM35,000 yang menurutnya, jarang berlaku.

“Jarang berlaku bank bagi pinjaman (lebih 100 peratus). Selalunya dibagi paling tinggi 90 peratus ataupun 80 peratus, tapi Agrobank bagi pembiayaan sampai 110 peratus”, katanya.

Ketika ditanya wartawan tentang punca terbengkalai projek perumahan ini katanya, “Banyak sebablah (tetapi) yang penting, kita melihat ke hadapan; ada masalah kita selesaikan.

“Dan ada kontraktor penyelamat – YYM Builders (Sdn Bhd yang diketuai oleh) Dato’ Suhaimi Sulong, tampil ke hadapan dan sudah tentulah Kerajaan Negeri mengeluarkan seidkit kos, supaya projek ini dapat disiapkan,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyebut tentang usaha gigih Kerajaan Negeri dalam mengadakan kemudahan perumahan kepada rakyat termasuklah menerusi PR1MA Pahang (rumah banglo setingkat berharga RM150,000 sebuah), Rumah Makmur (rumah teres setingkat berharga RM80,000 sebuah) dan terkini, Rumah Rakyat.

INILAH RUMAHNYA, DENGAN LAMAN YANG LUAS...


RUMAH RAKYAT PERCUMA UNTUK GOLONGAN TAK MAMPU

Di bawah program Rumah Rakyat katanya, setiap kawasan Dewan Negeri (DN) sebanyak 42 DN, akan dibina dua (2) unit manakala setiap kawasan Parlimen sebanyak 14 buah, akan dibina sebuah.

Berkeluasan 750 kaki persegi dan dibina menerusi peruntukan Kerajaan Negeri dan Tabung Perumahan Rakyat (TPR) dengan kos RM65,000 seunit atau keseluruhannya kira-kira RM6.3 juta katanya, rumah-rumah ini dikhususkan kepada mereka yang tidak berkemampuan atau fakir miskin.

“Yang ini (pembinaan dan pemberian Rumah Rakyat secara percuma ialah kerana) kita hendak memudahkan kerana kita masih merasakan, dalam kelompok masyarakat kita, ada yang mampu, ada yang kurang mampu, ada yang tak mampu,” katanya.

Sungguhpun beliau tidak menyebutkan secara khusus tetapi difahamkan, pada yang mampu boleh berusaha mendapatkan atau membeli rumah PR1MA Pahang; yang kurang mampu boleh mendapatkan Rumah Makmur dan yang tidak mampu, Rumah Rakyat.

“Tapi kita bagi (secara percuma Rumah Rakyat kepada mereka yang memerlukan adalah) mengikut kemampuan kewangan Kerajaan Negeri. Setakat tahun ini, kita mampu bina dan beri bagi satu (1) DN, dua (2) buah rumah, bagi satu (1) Parlimen sebuah rumah.

BANYAK LAGI RUMAH RAKYAT, MENURUT KEMAMPUAN KEWANGAN NEGERI

“Dan insyaAllah, projek ini kita akan teruskan dengan sumber kewangan ialah daripada Kerajaan Negeri dan juga daripada Tabung Perumahan Rakyat (TPR),” katanya lagi dan menyebut, kutipan hasil negeri yang baik – naik 20 peratus kepada jangkaan hasil kira-kira RM704 juta menjadi RM847.3 juta tahun lepas (2019); telah memungkinkannya.

Mengenai program perumahan PSN, antara butiran yang penulis perolehi ialah, sasarannya untuk membina 300 unit rumah banglo setingkat di atas tanah seluas kira-kira 43 hektar atau 106.13 ekar.

Tetapi, bagi Fasa 1 berkaitan majlis pagi ini yang siap pada 22 Februari 2019, melibatkan 154 unit rumah banglo setingkat di atas tapak seluas 18 hektar atau 45.26 ekar, setiap unit ada 3-bilik, berkeluasan tapak 40 kaki X 60 kaki, dan berkeluasan pantai 20 kaki X 35 kaki dan bernilai projek keseluruhan, RM35.4 juta

Harga seunit ialah RM35,000, untuk peserta dalam kalangan nelayan, yang selama ini perlu menyewa dengan kos yang tinggi di sekitar Kuantan.

Selain Dato’ Sri Ir Mohd Soffi, antara yang turut hadir pada majlis pagi Isnin ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Nazri Ngah;

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Nazri Bakar; Ahli DN kawasan Inderapura, Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif; serta Ahli DN kawasan Tanjung Lumpur, Encik Rosli Jabar yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri. – Khabar