Saturday 13 June 2020

Projek lebih RM18 juta ORS atasi masalah bekalan air terawat Chini, siap dalam setahun bermula Ogos ini.


“… saya pernah datang ke sini bersama dengan Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun, kita minta PAIP hantar lori tangki air untuk penyelesaian masa jangka pendek, (tapi) tidak selesai (dengan sempurna).

“Jadi, dengan adanya ORS ini, ia akan selesailah, ‘permanent’ (kekal) punya penyelesaian, lebih-lebih lagi sekarang kita dah tingkatkan kapasiti daripada 11 hari kepada 22 hari (keupayaan ORS tampung bekalan air semasa musim kemarau),” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

INI PLAN DAN LOKASINYA... Dato' Sri Wan Rosdy kelihatan menunjukkan lokasi tapak ORS di atas plan. Selain Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri Idris, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari (kanan sekali).


MUKA SAUK SUNGAI MENTIGA, LOJI RAWATAN AIR CHINI, PEKAN – Panggilan tender akan dilakukan pada 22 Jun ini, disusuli pembinaan dalam tempoh setahun dan dijangka siap pada hujung Ogos 2021.

Inilah jadual masa ditetapkan bagi projek bernilai lebih RM18 juta pembinaan kolam takungan hiliran (ORS; Off River Storage) bagi mengatasi masalah bekalan air bersih/terawat melibatkan kira-kira 33,000 pengguna/penduduk Chini dan persekitarannya.

Perkara ini disebut dalam taklimat sempena lawatan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bersama bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan pagi Sabtu, 13 Jun di sini.

Antara yang turut hadir ialah Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Idris Jusoh; Yang Dipertua, Dewan Negeri, Dato' Sri Ishak Mohamad; Setiauasaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; serta, Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak yang juga Pengerusi, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP); dan, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Arif yang juga Ahli Dewan Negeri kawasan Bebar.
    
Taklimat disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi, FIC Integrated Property Management Sdn Bhd (FIC IPM), Dato’ Ir Mohamad Ali Ramli. FIC IPM ialah antara syarikat berkaitan FELDA.    

BERSAMA DI MUKA SAUK...  Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri Mohd Najib; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Idris, Dato' Sri Ishak, Dato' Sri Dr Salehuddin dan Dato' Sri Ir Mohd Soffi. 


PERJUANGKAN SEJAK TAHUN 2017 LAGI  

Pada persidangan media kemudian, Dato’ Sri Wan Rosdy menjelaskan betapa projek ini di‘perjuangkan’ sejak 2017 lagi oleh Kerajaan Negeri terutamanya oleh bekas Ahli Dewan Negeri kawasan Chini, Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun.

“… sepatutnya dilaksanakan pada 2018 tetapi atas sebab Kerajaan (Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan) ketika itu menyebabkan projek ini tergendala. (Kini), projek ini akan dimulakan dalam masa terdekat dan mengambil masa lebih kurang satu tahunlah (untuk siap),” katanya.

Pada sesi taklimat tadi kata Dato’ Sri Wan Rosdy, beliau membangkitkan soal saiz/kapasiti ORS berkenaan dan dimaklumkan, “… takungan air itu hanya boleh menampung selama 11 hari sahaja (semasa musim kemarau) sedangkan purata musim kemarau di sini antara 20 ke 24 hari.

“Jadi Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada YB Dato’ Sri Idris selaku Pengerusi Felda, kerana Kerajaan Negeri telah meminta supaya daripada 11 hari dapat ditringkatkan (saiz/kapasiti kepada) selama 22 hari, dan pada dasarnya telahpun diluluskan.

“Dan ini satu berita yang sangat menggembirakan kepada semua penduduk Chini. Dengan adanya peruntukan yang telah diluluskan ini, masalah bekalan air di kawasan Chini ini boleh dikatakan dapat diselesaikan,” katanya.

SINGGAH, MENJENGAH PENDUDUK... Sebagai pemimpin-pemimpin berjiwa rakyat, singgahan dan jengahan ke atas kehidupan rakyat seperti di Kampung Orang Asli Dusun ini, merupakan satu kelaziman yang sentiasa disenangi rakyat-jelata. 


ORS DIPERBESARKAN, BOLEH TAMPUNG BEKALAN AIR SEMASA MUSIM KEMARAU SEHINGGA 22 HARI

Ketika ditanya wartawan tentang kos katanya, tentu ia akan berlaku pertambahan kepada RM18 juta yang telah Kerajaan Persekutuan salurkan kepada FELDA, disebabkan oleh saiz/kapasiti ORS tersebut yang kini perlu diperbesarkan.

Berkenaan tempoh siapnya pula katanya, “… sama sahaja, lebih kurang (dalam tempoh setahun), tak jauh. Bukan dengan kita nak tambah peruntukan, takungan (projek pembinaan ORS) ini akan ‘delay’ sikit, tidak.

“Kerja-kerja awalan (proses panggilan) tender semuanya telah dibuat, ia akan pergi seiiringlah dengan peruntukan (tambahan, lebih RM18 juta) yang akan dapat,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, “… saya pernah datang ke sini bersama dengan Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun, kita minta PAIP hantar lori tangki air untuk penyelesaian masa jangka pendek, (tapi) tidak selesai (dengan sempurna).

“Jadi, dengan adanya ORS ini, ia akan selesailah, ‘permanent’ (kekal) punya penyelesaian, lebih-lebih lagi sekarang kita dah tingkatkan kapasiti daripada 11 hari kepada 22 hari.

“Kalau 11 hari, ia tidak selesai sepenuhnya sebab purata kemarau adalah antara 20 hari ke 24 hari. (Kini, dengan pembesaran saiz/kapasiti ORS ini dan) sekiranya berlaku kemarau, air dari takungan (ORS) ini boleh dibekalkan (kepada LRA Chini untuk diproses menjadi air bersih/terawat),” katanya lagi. – Khabar