Thursday, 31 May 2018

KDYMM Pemangku Raja zahirkan kebimbangan dengan jumlah besar/nilai harta pusaka milik Islam terbeku dan belum diwariskan.


TITAH DIRAJA...


PERKARANGAN MASJID BATU PAPAN, BERAKDYMM Pemangku Raja Pahang menzahirkan kebimbangan Baginda dengan jumlah besar harta pusaka milik umat Islam yang terbeku dan belum diwariskan ekoran masalah pengurusannya. 

Sambil memetik laporan akhbar sebelum ini tentang harta pusaka berkenaan yang nilainya kini mencecah RM66,000 juta, Baginda menitah-sarankan betapa umat Islam di negara dan negeri ini; 

“Perlu diingat, harta bukanlah diperolehi secara ‘pipis datang melayang’. Harta tidak dimiliki secara ‘bulat datang bergolek. Harta yang diperolehi adalah dengan penat-jerih yang diusahakan sepanjang hayat oleh sipemilik harta. 

“Mereka mengorbankan keperluan hari ini untuk persediaan memenuhi keperluan anak-cucu hari esok. Maka, amatlah malang setelah pemilik harta meninggal dunia, harta tersebut yang bertaraf harta pusaka, ditinggalkan terbeku begitu sahaja dan tidak boleh digunakan. 

“Senario ini merupakan satu kerugian kepada waris dan juga kerugian amat besar kepada umat Islam keseluruhannya,” titah Baginda pada Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Kampung Batu Papan ini petang Khamis, 31 Mei di sini.

MENURUNKAN TANDATANGAN BAGINDA... Selain Dato' Sri Wan Rosdy, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Muhammad Safian dan Dato' Sri Syed Ibrahim.


PENTINGNYA AMALAN HIBAH

Baginda juga bertitah, Islam menggalakkan umatnya memperuntukkan harta yang dikumpul untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan sama ada dalam memenuhi tuntutan hukum faraid, atau dalam bentuk berzakat dan wakaf.

Malangnya, majoriti umat Islam masih kurang pengetahuan mengenai urusan pengagihan dan pembahagian harta ini, titah Baginda lagi. 

“Maka di sinilah Islam membolehkan harta seseorang itu dihadiahkan semasa hidup dalam bentuk Hibah atau Hadiah, agar dapat memberi manfaat kepada ahli keluarga yang ditinggalkan. 

“Hibah merupakan salah satu cabang muamalat dan digalakkan untuk diberikan terutamanya kepada anggota keluarga terdekat. Amalan Hibah memberi manfaat terutamanya dalam menyelesaikan beberapa pertikaian berkaitan harta pusaka,” titah Baginda. 

Baginda seterusnya memetik Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang antara lain menyebut; ‘Rasulullah SAW bersabda kepada Saad Abi Waqas yang bermaksud; 

MEMBERI KEPADA YANG MEMERLUKAN...


LEBIH BAIK TINGGALKAN WARIS DALAM KEADAAN KAYA

‘Sesungguhnya kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya; itu jauh lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta kepada manusia’.

Sehubungan itu Baginda menitah-cadangkan agar Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berganding bahu dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam melaksanakan gerakan kesedaran Hibah di negeri ini. 

Antara yang boleh dilakukan menerusi gerakan tersebut titah Baginda lagi, ialah dengan menyediakan khidmat nasihat mengenai Hibah di peringkat negeri, daerah mahupun mukim, serta memberi latihan kepada pegawai-pegawai masjid. 

Pada awal titah ucapan, KDYMM Pemangku Raja sekali lagi menitah-ingatkan agar rakyat-jelata khususnya umat Islam di negeri ini, supaya dapat terus memelihara perpaduan dalam kalangan mereka. 

“Sebagai sebuah masyarakat yang menganuti agama yang sama iaitu Islam, adalah menjadi satu kewajipan kita bersama utuk berusaha memupuk semangat persaudaraan di antara ahli masyarakat. 

ANAK KECIL JUGA MENERIMA LAYANAN MESRA DAN ISTIMEWA, KEBAWAH DULI TUANKU...


PERPADUAN MENJAMIN MASYARAKAT TEGUH, BERMARUAH 

“Apa yang harus kita ingat ialah bahawa menerusi perpaduan kita akan dapat mewujudkan satu masyarakat yang teguh dan bermaruah. Sebaliknya, jika terdapat perpecahan di kalangan kita maka ini akan merugikan kita sendiri disamping menerima kutukan Allah SWT,” titah Baginda.

Sehubungan itu, Baginda menitah-sarankan agar soal perpaduan dijadikan penekanan di dalam kelas-kelas pengajian, kuliah atau perjumpaan dalam kalangan cerdik-pandai Islam di negeri ini.

Selain Menteri Besar Dato’Sri Wan Rosdy Wan Ismail; antara yang turut hadir pada majlis petang Khamis ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;

Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan, Pegawai Daerah Bera, Dato’ Razihan Adzharuddin. – Khabar