“Harapan saya,
yang pertama sekali harap mereka fokus, komited, dan mendalami fungsi yang
telah mereka diamanahkan. Dan saya yakin mereka boleh melaksanakan…,” kata
Menteri Besar
MEMPENGERUSIKAN PERTAMA KALI, MESYUARAT MMK NEGERI... Foto ini dirakam sebelum Dato' Sri Wan Rosdy mula mempengerusikan pertama kali, mesyuarat MMK Negeri kira-kira lapan hari selepas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar pada petang Selasa, 15 Mei.
Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; yang turut kelihatan ialah beberapa Ahli MMK dan Ahli Ex-Officio - Pegawai Undang-undang Negeri, Dato' Sri Shamsulbahri Ibrahim.
PEJABAT DAERAH
DAN TANAH CAMERON HIGHLANDS, TANAH RATA, CAMERON HIGHLANDS – Menteri Besar
Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang pertama kali mempengerusikan Mesyuarat
Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri hari ini, telah mengumumkan senarai
portfolio bagi kesemua Ahli MMK.
Pengumuman
ini dibuat kepada Ahli-ahli MMK terlebih dahulu semasa peringkat awal permulaan
mesyuarat berkenaan, kemudian diulanginya pada persidangan media awal tengah hari Rabu, 23 Mei di sini.
Menurut
Dato’ Sri Wan Rosdy, beliau sendiri akan memegang empat (4) portfolio dengan
dua (2) daripadanya akan diserahkan kepada dua (2) Ahli-ahli MMK yang baharu,
yang telahpun disembahkan ke sisi KDYMM Pemangku Raja untuk diperkenankan.
Keempat-empat
portfolio itu ialah - Jawatankuasa Perancangan, Kewangan, Tanah dan Sumber Asli;
Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Ekonomi; Jawatankuasa Pembangunan Luar
Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli; dan, Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas
Tani, Peladangan dan Bioteknologi
Portfolio-porfolio
bagi meliputi lapan (8) Ahli MMK lain ialah –
DATO' SRI WAN ROSDY, PADA PERSIDANGAN MEDIA... Di sebelah mengiringinya pada persidangan media ini ialah Dato' Sri Muhammad Safian.
DATO’ SRI MOHD
SHARKAR MASIH PEGANG PELANCONGAN
Dato’
Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, yang mengetuai Jawatankuasa Pelancongan, Alam
Sekitar dan Badan-badan Bukan Kerajaan; Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin, bagi Jawatankuasa
Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.
Dato’
Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan
Kesihatan; Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman, Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem
Penyampaian Awam dan Inovasi.
Dato’
Sri Mohd Johari Husin, Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan. Dato’
Nazri Ngah, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal
Pengguna.
Dato’
Mohd Fakharuddin Mohd Ariff, Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi
dan Multimedia, dan, Encik Abdul Rahim Muda, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan
Perumahan.
“Dan sekiranya
berlaku pelantikan dua (2) Exco lagi, saya akan lepaskan dua (2) portfolio
kepada Exco baharu. Ini kita menunggu perkenan KDYMM Pemangku Raja untuk
lantikan dua (2) Exco dalam masa yang terdekat,” katanya.
AKAN ADA
TAMBAHAN DUA (2) LAGI EXCO, JADIKAN 10
“Maknanya,
ada cadangan penambahan Exco lagilah?” tanya wartawan BERNAMA dan beliau
menjawab, “Ada, ada, ada. Sebab
Perlembagaan Negeri (Undang-undang Tubuh Negeri Pahang) mengatakan boleh 10. 10
campur satu (1) MB”.
Menurutnya
lagi, cadangan nama bagi tambahan kedua-dua jawatan Ahli MMK itu telahpun
beliau sembah ke sisi KDYMM Pemangku Raja untuk mendapat perkenan Baginda.
Beliau
juga berkata, portfolio-portfolio yang diberikan itu adalah berdasarkan pengalaman,
‘background’, dan pendedahan mereka sebelum ini dengan mengambil contoh Encik Abdul
Rahim yang pernah berkhidmat dengan Majlis Perbandaran Kuantan
(MPK).
“Dato’ (Mohd) Fakharuddin,
dia seorang ‘engineer’, contohnyalah. Macam Dato’ Sri (Mohd) Sharkar, beliau
sebelum ini pernah memegang (Jawatankuasa) Pelancongan cuma kita tambah sikit –
Alam Sekitar sebab Pelancongan dengan Alam Sekitar itu dia ‘related’, sinonim,” katanya lagi.
Mengenai
harapannya kepada Ahli-ahli MMK yang telah diserahkan portfolio masing-masing pada
mesyuarat pertama pasca Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 ini katanya;
AHLI-AHLI MMK
ADA KEWIBAWAAN
“Harapan saya,
yang pertama sekali harap mereka fokus, komited, dan mendalami fungsi yang
telah mereka diamanahkan. Dan saya yakin mereka boleh melaksanakan kerana
mereka ini telah dipilih oleh rakyat dan mempunyai kemampuan yang tersendirilah
untuk melaksanakan amanah dan tugas-tugas tersebut”.
“(Ahli-ahli MMK
ini) ada kewibawaan… Kalau fokus, komited, disiplin… saya ingat tak ada masalah,” katanya lagi. –
Khabar