“Junjung kasih
atas perkenan KDYMM Tuanku Sultan, KDYMM Pemangku Raja di atas pelantikan saya
sebagai Menteri Besar.
“InsyaAllah,
saya akan cuba menggalas tanggungjawab dan amanah ini sebaik mungkin dan insyaAllah,
Kerajaan Negeri juga akan berusaha menjalinkan hubungan yang baik dengan
Kerajaan Pusat,” kata Menteri Besar Ke-15, Dato’ Sri Wan Rosdy
BALAIRUNG SERI,
ISTANA ABU BAKAR, PEKAN – Menteri Besar baharu, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan
Ismail mengucapkan junjungan kasih ke sisi KDYMM Sultan Pahang dan KDYMM
Pemangku Raja Pahang, atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar.
“Junjung kasih
atas perkenan KDYMM Tuanku Sultan, KDYMM Pemangku Raja di atas pelantikan saya
sebagai Menteri Besar.
“InsyaAllah,
saya akan cuba menggalas tanggungjawab dan amanah ini sebaik mungkin dan insyaAllah,
Kerajaan Negeri juga akan berusaha menjalinkan hubungan yang baik dengan
Kerajaan Pusat.
“Kerana saya
fikir banyak perkara yang perlu kita bincangkan dengan Kerajaan Pusat,” katanya ketika
ditemui wartawan selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan
Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
(MMK) petang Selasa, 15 Mei di sini.
Pada
Istiadat yang disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang yang diiringi KDYTM
Tengku Puan Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy (BN – Jelai) telah dilantik sebagai
Menteri Besar ke-15, mengantikan Dato’ Sri DiRaja Adnan.
DEMI KEMBALIKAN
KEYAKINAN RAKYAT KEPADA BN
Lapan
(8) yang lain pula dilantik sebagai Ahli MMK Negeri yang terdiri daripada Dato’
Sri Mohd Sharkar Shamsuddin (BN – Lanchang); Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin (BN
– Kuala Sentul); Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN – Kerdau);
Dato’
Sri Norol Azali Sulaiman (BN – Guai); Dato’ Sri Johari Hussin (BN – Tioman); Dato’
Nazri Ngah (BN – Pulau Tawar); Encik Abdul Rahim Muda (BN – Lepar) dan, Dato’
Mohd Fakharuddin Arif (BN – Bebar).
Pelantikan-pelantikan ini sepertimana diumumkan oleh Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato' Sri Wan Wahid Wan Hassan, ialah bagi tempoh dua (2) tahun atau satu tempoh yang akan ditetapkan oleh Paduka Baginda Tuanku.
Dato’
Sri Wan Rosdy turut ditanya tentang langkah dan usahanya selepas ini, dalam
mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN yang menduduki tampuk pemerintahan
Kerajaan Negeri.
“Kita akan
melihat bagaimana untuk memenangi hati rakyat, memenangi minda rakyat. Ketika ini,
terlalu awal untuk saya bercakap mengenai perkara ini.
“Tapi insyaAllah,
bagi masa, saya bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Exco, bersama-sama dengan
ADUN, akan cuba sebaik mungkin untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada
kita, insyaAllah,”
katanya. – Khabar