“Jika kini, ‘biduk’
sudahpun ‘berlalu’, maka ‘kiambang’ pun kembalilah ‘bertaut’. Dan jikapun
‘carik-carik bulu ayam’, ‘akhirnya bercantum juga’.
“Dan patik
percaya, rakyat-jelata Kebawah Duli Tuanku sentiasa sedar betapa ‘air yang
dicincang, tidak akan putus’, begitulah perpaduan dan persepakatan antara
sesama mereka,” kata Menteri Besar.
TANDA PERASMIAN... KDYMM Pemangku Raja sedang menurunkan tandatangan Baginda pada 'plaque' perasmian Masjid Al-Huda sambil Dato' Sri Wan Rosdy memerhatikan.
Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri, Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
PERKARANGAN
MASJID AL-HUDA, KAMPUNG RAJA, CAMERON HIGHLANDS – Menteri Besar
Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menyarankan agar semua pihak kembali
bersatu setelah selesainya kini Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lepas.
“Jika kini, ‘biduk’
sudahpun ‘berlalu’, maka ‘kiambang’ pun kembalilah ‘bertaut’. Dan jikapun
‘carik-carik bulu ayam’, ‘akhirnya bercantum juga’.
“Dan patik
percaya, rakyat-jelata Kebawah Duli Tuanku sentiasa sedar betapa ‘air yang
dicincang, tidak akan putus’, begitulah perpaduan dan persepakatan antara
sesama mereka.
“Oleh itulah
patik sarankan sekali lagi, agar rakyat-jelata sekelian kembalilah bersatu dan
bertaut di bawah payung naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, serta Kerajaan
yang ada,”
katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan 9-minitnya pada
Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid yang kemudian diisytiharkan sebagai
Al-Huda yang disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang petang Rabu, 23 Mei
di sini.
MENGAMINKAN... KDYMM Pemangku Raja sedang mengaminkan doa. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Ishak (barisan depan, kanan sekali).
UCAPAN AWAM PERTAMA
SEBAGAI MB DENGAN KEBERANGKATAN TUANKU
Ucapan Dato’ Sri Wan Rosdy ini ialah yang pertama
pada majlis awam yang turut melibatkan keberangkatan KDYMM Pemangku Raja
Pahang, sejak dilantik sebagai Menteri Besar oleh Baginda pada petang Selasa,
15 Mei lepas.
Sungguhpun Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat kini
dipimpin oleh gagasan parti yang berbeza namun kerjasama yang terjalin erat
antara kedua-duanya sebelum ini beliau percaya, akan berterusan dalam era pasca
PRU ke-14.
“Dengan
penerusan ini insyaAllah, negeri Pahang akan terus dapat dimakmurkan yang
dengannya, rakyat-jelata Kebawah Duli Tuanku akan terus menikmati kesejahteraan
yang akan ditingkatkan daripada masa ke semasa,” katanya.
Pada permulaan ucapannya, beliau telah menzahirkan
ucapan junjung kasih ‘yang tidak terperinya’ ke sisi Baginda Tuanku atas
pelantikannya sebagai Menteri Besar pada petang Selasa berkenaan.
“Pelantikan ini
sesungguhnya, amat patik tidak menduga. Berita mengenainya kepada patik pada
pagi Selasa sebelum pelantikan, benar-benar mengejutkan patik.
SAMBUTAN BUAT KEBAWAH DULI... Keberangkatan tiba Baginda petang Rabu, disambut kenamaan dalam kalangan Ahli MMK, wakil rakyat negeri serta penjawat awam.
SEBAGAI, MENTERI
BESAR KE-15
“Mengejutkan
kerana patik tidak menjangka sebab patik sedar, siapalah patik, sekadar seorang
wakil rakyat biasa bermula selepas PRU tahun 2004;
“Kemudian
dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri selama dua (2)
penggal antara tempoh 2008/2013 dan tempoh 2013/2018 ini, sebelum pelantikan
sebagai Menteri Besar ke-15 pada petang Selasa itu.
“Mengejutkan
juga kerana, patik turut sedar betapa dengan jawatan ini, turut datang
bersama-samanya ialah tanggungjawab besar yang tentunya amat berat, yang telah
diletakkan di atas batu jemala patik,” katanya.
“Namun, seberat
manapun ia, patik tetap bersyukur. Dan patik amat yakin betapa dengan panduan
dan tunjuk-ajar yang bakal patik turut dapat pelajari kelak daripada
pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, insyaAllah, patik akan
berupaya melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya lagi.
Tanggungjawab yang digalasnya ini juga katanya, akan
dipikul sehabis baik demi menyerlahkan lagi kedaulatan atas tampuk pemerintahan
Baginda serta memastikan urusan pentadbiran negeri yang dirangka dan dilaksanakan
adalah demi memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat-jelata.
MASJID AL-HUDA
BOLEH MUAT 200 JEMAAH
Mengenai masjid yang dirasmikan ini pula katanya, kos
pembinaannya ialah kira-kira RM987,000 yang merupakan peruntukan yang
disediakan oleh Kerajaan Pusat.
Boleh memuatkan jemaah cuma 200 orang pada satu-satu
masa katanya, pembinaan bermula selepas pemilikan tapak pada 30 jun 2009 dan
siap dalam tempoh kira-kira setahun, pada 31 Mei 2010.
Keperluan untuk membina masjid baharu ini memang ada
yang menurutnya lagi, bagi menggantikan masjid lama daripada binaan kayu, yang
tidak lagi dapat menampung kehadiran jemaah yang ada.
Ekoran itulah katanya, permintaan telah dibuat untuk
mendapatkan masjid baharu dan disebabkan tapak masjid lama tidak begitu luas
maka dibinalah masjid baharu di tapak yang ada di sini.
Masjid lama pula katanya lagi, terus dikekalkan
tetapi ditukarkan fungsinya sebagai kelas pengajian KAFA yang dengan itu, terus
dapat dimanfaati oleh anak-anak penduduk setempat.
MELAYANI HADIRIN YANG TURUT DALAM KALANGAN BUKAN ISLAM...
TERPELIHARA, TERMASUK DALAM HAL-HAL BERKAITAN AGAMA
“Begitulah
perancangan dan pelaksanaan yang telah diambil oleh Kerajaan Kebawah Duli Tuanku,
demi memastikan rakyat Kebawah Duli Tuanku terus terpelihara termasuk dalam
hal-hal berkaitan dengan keagamaan ini,” katanya.
Selain bekas Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri,
Dato’ Sri Ishak Mohamad; dan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad
Safain Ismail; yang turut hadir ialah beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
(MMK) Negeri;
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri termasuk dari Pakatan
Harapan (PH) – parti pembangkang di negeri ini; Pegawai Daerah Cameron
Highlands, Dato’ Ishak Md Napis; dan, Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang
(JAIP), Dato’ Mohd Noor Abdul Rani. – Khabar