Wednesday 30 May 2018

Tabik buat Dato’ Sri DiRaja Adnan!


 Menteri Besar beri penghormatan kepada ‘predecessor’nya pada Majlis Penyerahan Tugas Menteri Besar Pahang pagi Rabu

 “Jika saya lupa, maka bolehlah diingatkan; jika salah, boleh dibetulkan; jika bengkok, mohon diluruskan; jika silap mohon ditunjuk dan diajar mana yang baik,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy pada akhir ucapan 11-minitnya

SERAHAN TUGAS...

BILIK GERAKAN NEGERI, TINGKAT 7, WISMA SRI PAHANG, KUANTANMenteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail memberi penghormatan kepada Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob atas jasa dan khidmat bakti beliau kira-kira 19 tahun menerajui negeri ini. 

Ini dilakukannya ketika menyampaikan ucapan 11-minit pada Majlis Penyerahan Tugas Menteri Besar Pahang pagi Rabu, 30 Mei di sini, yang turut dihadiri oleh bekas Menteri Besar itu.  

Memulakan ucapan dengan menganggap Dato’ Sri DiRaja Adnan sebagai ‘mentor’nya kata Dato’ Sri Wan Rosdy, Dato’ Sri DiRaja Adnanlah yang banyak membantu dalam melancarkan perajalanan politiknya sejak tahun 2004 lagi.

Beliau menyingkap kembali tatkala menerima panggilan telefon menerusi pegawal peribadi Dato’ Sri DiRaja Adnan pada suatu pagi tahun 2004, selepas solat Subuh, yang beliau dimaklumkan tentang pemilihannya bertanding pada Pilihanraya Umum (PRU) Ke-11 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Jelai.

“… Dato’ Sri DiRaja bagi tahu Tuanku dah perkenan dan (saya akan diletak) bertanding di Jelai. Saya tak sempat kata ya atau tidak, Dato’ Sri DiRaja kata, ‘menang di Jelai tu’,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

POSE UNTUK RAKAMAN KAMERA... Sebelum bermulanya majlis pagi Rabu tersebut.


DILANTIK JADI AHLI MMK PADA PENGGAL KEDUA

Selepas sepenggal menjadi wakil rakyat biasa katanya, beliau telah dilantik oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan dan diperkenankan oleh KDYMM Sultan Pahang untuk menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada penggal kedua (2008 – 2013) dan terus kekal bagi penggal 2013-2018 lepas.

“Dan kini, atas kehendak, takdir Allah, saya telah, dengan mendapat perkenan Tuanku Pemangku Raja, mungkin dengan cadangan daripada Dato’ Sri DiRaja, saya telah menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-15,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyebut tentang pendekatan berkesan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan semasa mengemudi Kerajaan Negeri dengan ‘Mesra Rakyat, Mesra Pelaburnya’ – kebajikan rakyat-jelata menjadi keutamaan.

“Saya percaya, bertititk tolak daripada pendekatan Dato’ Sri DiRaja itulah (mesra rakyat dengan mementingkan hal kebajikan rakyat), ianya sangat berkesan dan berjaya di negeri ini.

“Dan ini dapat dilihat dan dibuktikan iaitu, setiap kali Pilihanraya Umum, Pilihanraya Kecil, Barisan Nasional di bawah kepimpinan Dato’ Sri DiRaja tidak pernah kalah. Ini adalah bukti yang tidak dapat dinafikan,” katanya yang serentak itu menerima tepukan hadirin yang dalam kalangan Ahli-ahli MMK, ADUN-ADUN BN dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri.  

MEMBERI TUMPUAN...


REKOD CEMERLANG MEMANG EMPAT (4) PRU, LIMA (5) PRK

Beliau seterusnya menyebut tentang kemenangan demi kemenangan yang BN perolehi di bawah kepimpinan Dato’ Sri DiRaja Adnan iaitu pada PRU Ke-11 tahun 2004; PRU Ke-12 tahun 2008; PRU Ke-13 tahun 2013; dan PRU Ke-14 tahun 2018.

Jentera pilihanraya BN di bawah teraju Dato’ Sri DiRaja Adnan juga turut melalui lima (5) PRK yang menurut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, kesemuanya BN menangi.

Kelima-lima PRK itu ialah PRK Negeri kawasan Sanggang tahun 2000; PRK Negeri kawasan Ketari tahun 2002; PRK Negeri kawasan Batu Talam tahun 2007; PRK Negeri kawasan Kerdau tahun 2011; dan, PRK Parlimen kawasan Rompin tahun 2015.

“Dan yang lebih penting ialah pada pilihanraya baru-baru ini, PRU ke-14, yang kita anggap sebagai ibu segala pilihanraya; banyak negeri yang jatuh satu-persatu kepada Pakatan Harapan, cuma ada dua (2) negeri yang dapat dipertahankan oleh Barisan Nasional, satunya di Perlis dan satunya lagi di Pahang.

Ini juga di bawah kepimpinan Dato’ Sri DiRaja yang mengetuai jentera pilihanraya. Jadi itulah diantara rekod-rekod cemerlang Dato’ Sri DiRaja yang kalau nak disebut satu-persatu banyak sangat.

SESI FOTO BERKUMPULAN...


MENERUSKAN DASAR-DASAR MESRA-RAKYAT, MENGUTAMAKAN RAKYAT

“Dan ini saya percaya, akan tercatit dalam lipatan sejarah yang memang sukar ditandingi oleh siapa-siapa. Dan saya percaya, ini ada sifir-sifir, formula yang boleh saya pelajari daripada Dato’ Sri DiRaja supaya menjadi lebih berkesan apabila kita mentadbir negeri,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri menurutnya, akan meneruskan program-program dan dasar-dasar yang telah dirangka dan dilaksanakan semasa di bawah Dato’ Sri DiRaja Adnan jika adapun perubahan ialah tokok-tambah bertujuan memperkemaskan dan memperelokkannya lagi.

“Dan saya percaya, dengan sokongan rakan-rakan Ahli Exco (Ahli MMK), kita juga cuba mencari idea-idea baharu demi memakmurkan lagi negeri Pahang menerusi dasar-dasar yang mesra rakyat atau mengutamakan rakyat.

“Jadi kepada Dato’ Sri DiRaja saya ucapkan terima kasih atas segala-galanya. Tidak terkata jasa bakti Dato’ Sri DiRaja kepada Kerajaan Negeri dan juga kepada saya. Hanya Allah juga dapat membalasnya.

“Kepada rakan-rakan Exco (MMK) dan ahli-ahli Ahli Yang Berhormat, saya sedar sebagai insan biasa saya akan menggalas amanah ini dengan rasa bertanggungjawab. Dan saya yakin, saya tidak seorang diri mengemudikan kapal mengharungi badai,” katanya lagi.

Dan beliau mengakhiri ucapanya dengan berkata; “Jika saya lupa, maka bolehlah diingatkan; jika salah, boleh dibetulkan; jika bengkok, mohon diluruskan; jika silap, mohon ditunjuk dan diajar mana yang baik”. – Khabar