Monday, 28 May 2018

Berbaik sangkalah sesama ummah, dan dengan yang bukan Islam, titah KDYMM Pemangku Raja


“Dalam hal ini, kita hendaklah mencontohi semangat Rasulullah SAW yang terbukti berjaya mengamalkan sikap ukhuwah, silaturrahim, hormat-menghormati dan berbaik sangka sesama ummah dan dengan masyarakat bukan Islam,” titah Baginda.

MENURUNKAN TANDATANGAN BAGINDA PADA MAJLIS PETANG ISNIN... Selain Dato' Sri Wan Rosdy; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Syed Ibrahim dan Encik Hafizi (berdiri depan, kanan sekali). 


PERKARANGAN, MASJID FELDA SUNGAI KOYAN, SUNGAI KOYAN, LIPIS – KDYMM Pemangku Raja bertitah, mengingatkan umat Islam agar mengamalkan sikap-sikap terpuji termasuk berbaik sangka sesama mereka serta dengan masyarakat bukan Islam.

“Dalam hal ini, kita hendaklah mencontohi semangat Rasulullah SAW yang terbukti berjaya mengamalkan sikap ukhuwah, silaturrahim, hormat-menghormati dan berbaik sangka sesama ummah dan dengan masyarakat bukan Islam,” titah Baginda.

“Amalan sebegini,” titah Baginda lagi, “… perlulah terus dipupuk dalam konteks masyarakat pelbagai kaum khususnya di negeri Pahang agar nikmat keamanan, kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati dapat terus dipelihara.

“Sebarang anasir atau tindakan yang cuba melemahkan dan menjejaskan perpaduan rakyat berbilang kaum perlulah dihindari,” titah Baginda pada Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Sungai Koyan petang Isnin, 28 Mei di sini.

Baginda turut menyentuh tentang fungsi masjid yang Baginda titahkan betapa sejarah mencatatkan ia tidak sahaja bertindak sebagai tempat beribadah tetapi juga dalam membina dan memajukan masyarakat dan negara.

MENYAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA YANG MEMERLUKAN... 


PELBAGAIKAN AKTIVITI MASJID

Baginda Nabi Muhamad SAW menurut titah KDYMM Pemangku Raja lagi, telah menjadikan masjid sebagai pusat utama kepada segala aktiviti kemasyarakatan umat Islam ketika itu.

“Saya sering mengingatkan bahawa para pegawai dan ahli-ahli jawatankuasa masjid perlulah bergerak secara lebih aktif bagi menjana kecemerlangan umat Islam.

“Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam terutamanya dikalangan para pegawai dan ahli-ahli jawatankuasa masjid untuk mempelbagaikan aktiviti di masjid dengan menganjurkan program-program berbentuk kerohanian, pembangunan fizikal dan intelektual,” titah Baginda.  

Baginda seterusnya menitah-sarankan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) agar merancang program dan aktiviti demi mengimarahkan masjid termasuklah di sini, yang ada kira-kira 3,000 penduduk dari Rancangan Tanah Felda-Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3, serta Orang Asli dari pos berdekatan.

“Sayang sekali jika masjid yang sebegini indah tidak dimanfaatkan khususnya dalam memenuhi kehendak masyarakat untuk mendalami ilmu agama,” titah Baginda.

LAGI SMBANGAN UNTUK GOLONGAN YANG MEMERLUKAN... 


PROGRAM UNTUK TINGKATKAN KUALITI IMAM/PEGAWAI MASJID

“Saya juga berharap agar diadakan program-program yang boleh meningkatkan kualiti imam dan pegawai masjid sebagai contohnya, menerusi program ‘multaqa imam’.

“Ianya merupakan salam satu program di mana saya ingin melihat imam yang dilantik untuk masjid-masjid di negeri Pahang ini adalah terdiri daripada imam yang profesional dan hebat, bersesuaian dengan kehebatan masjid tempat mereka ditugaskan.

“Apa guna kita memiliki masjid yang gah, tapi kualiti dan disiplin para pegawainya masih di takuk lama,” titah Baginda lagi.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; antara yang turut hadir pada majlis petang Isnin ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pegawai Daerah Lipis, Encik Hafizi Ibrahim. – Khabar