Monday, 7 May 2018

“Di mana bumi kita pijak, di situlah langit kita junjung,” titah KDYMM Pemangku Raja Pahang


“Disinilah saya harap, kita harus kekalkan muafakat antara satu sama lain. Saya tak akan sentuh dari mana asalnya tuan-tuan dan puan-puan kerana bagi saya, di mana bumi kita pijak, di situlah langit kita junjung,” titah Baginda.

DALAM TITAH UCAPAN LUAR TEKS 22-MINIT BAGINDA... Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Liow (belakang, kiri sekali) dan Dato' Azhar (berdiri, kanan sekali). 

DATARAN FELDAJAYA, MEMPAGA, BENTONG – Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung – pepatah yang dititah-ungkapkan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang, ditujukan kepada penduduk di Rancangan Tanah-Rancangan Tanah Felda yang berasal dari negeri-negeri luar Pahang.

“Saya harap, kita harus kekalkan muafakat antara satu sama lain. Saya tak akan sentuh dari mana asalnya tuan-tuan dan puan-puan kerana bagi saya, di mana bumi kita pijak, di situlah langit kita junjung,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian dalam titah ucapan luar teks 22-minit pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan Memerlukan pada petang Isnin, 7 Mei di sini.

Baginda seterusnya mengingatkan kembali ketika bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mula membuka Rancangan Tanah Felda setelah mendapat perkenan Ninda Baginda, Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah.

Yang sehingga kini titah Baginda lagi, sudah ada 114 rancangan Felda di seluruh negeri yang dimanfaati oleh para peneroka dari pelbagai negeri termasuk ada antaranya sehingga menjadi jutawan.

MENGAMINKAN DOA... 


SEMUA UNTUK GENERASI MUDA

Selain peneroka generasi pertama sendiri titah Baginda, generasi kedua juga turut menikmati pembangunan yang dibawa oleh Felda dengan mereka disediakan perumahan sungguhpun masih perlu ditingkatkan lagi.   

KDYMM Pemangku Raja turut bertitah betapa, projek jalan 2-lorong, 2-hala Central Spine Road (CSR) dari Merapoh hingga ke Pelangai di negeri ini sedang rancak dibangunkan.

Begitu juga dengan projek ‘Bentong Bypass’ yang turut dalam pembinaan, yang akan dapat memendekkan perjalanan antara Bentong dengan Kuala Lumpur, begitu jugalah antara Bentong dengan laluan ke Kuantan.

“Ini adalah semua untuk generasi-generasi muda. Kalau nak suruh buat ‘twin tower’ kat sini mungkin tak mampu. Janganlah minta yang berlebih-lebihan, yang tak realistik,” titah Baginda lagi.

Yang oleh itulah, “Saya bersyukur bagi pihak Almarhum Ninda saya, bagi pihak Ayahanda saya dan saya berterima kasih kepada Kerajaan – takkan saya tak boleh kata Kerajaan Barisan Nasional.

MENELAAH... Kelihatan KDYMM Pemangku Raja dan paduka isteri, KDYTM Tengku Puan Pahang sedang menelaah sesuatu sambil Baginda menulis sesuatu di atasnya. 


BERTERIMA KASIH KEPADA KERAJAAN BN

“Takkan saya (nak) kata Kerajaan Jepun. Takkan saya (nak) kata Kerajaan Orang Putih,” titah Baginda yang segera mendapat tepukan hadirin.

“Saya mesti berterima kasih (kepada Kerajaan Barisan Nasional) kerana memberi peluang untuk menjayakan kaum kita, rakyat kita, Orang Melayu, Cina, India. Sebab itulah, kita jangan cepat, mudah, bukan lupa, tak ingat…,” titah Baginda lagi.  

Menyentuh tentang perpaduan, Baginda bertitah betapa sedih apabila mengetahui betapa, “… orang zaman sekarang berbagai-bagai haluan, berbagai-bagai fikiran, berbagai-bagai cara; nak menukar angin – angin puting beliung datang (i)kut sini, angin ribu (i)kut sana”.

Mengakui betapa Baginda bukanlah ‘orang politik’ lalu bukanlah undi yang diharapkan daripada rakyat tetapi yang dharapkan ialah doa dan kesayangan secara ikhlas daripada mereka terhadap Institusi DiRaja.

“… kerana Institusi DiRajalah yang dapat kita naungi, mudah-mudahan dapat mengekalkan perpaduan antara kita yang tinggal berbilang kaum khususnya orang Melayu, orang Cina, orang India, dan seterusnya,” titah Baginda yang menerima tepukan hadirin sekali lagi.

HADIRIN DALAM KALANGAN YANG MEMERLUKAN... Ini merupakan sebahagian daripada golongan yang memerlukan, yang menerima sumbangan daripada KDYMM Tuanku. 


HARI HOL, GENAP 44 TAHUN PEMERINTAHAN KDYMM SULTAN PAHANG

Baginda turut bertitah, hari ini ialah Hari Hol yang menandakan 44 tahun sudah kemangkatan Almarhum Ninda Baginda, Sultan Sir Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah.

Dan hari inilah juga menurut titah Baginda, genap selama 44 tahunlah sudah tempoh pemerintahan Ayahanda Baginda, KDYMM Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah.

Pada majlis ringkas tetap penuh bermakna petang Isnin ini, KDYTM Tengku Puan Pahang turut berangkat mengiringi KDYMM Pemangku Raja Pahang.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; yang turut hadir ialah Menteri Pengangkutan yang juga calon BN bagi Parlimen Bentong, Dato’ Sri Liow Tiong Lai; bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Lim Ah Lek; serta, Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad. – Khabar