Saturday, 12 May 2018

Tangguh sekejap;

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar

“Saya tangguh kerana saya rasa patut tangguh sekejap. Saya memerlukan masa dan, tak ada masalahpun nak tangguh. Saya perlukan masa sikit, senang saya boleh kenalpasti semualah anggota-anggota Kerajaan, itu saja,” titah KDYMM Pemangku Raja.
KEMESRAAN YANG TERUS TERJALIN ANTARA KDYMM TUANKU DENGAN DATO' SRI DIRAJA ADNAN... Foto ini dirakam ketika KDYMM Pemangku Raja yang diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan ke kenderaan rasmi Baginda di perkarangan Dewan Mulia, untuk berangkat pulang.  


PERKARANGAN, DEWAN MULIA, ISTANA ABU BAKAR, PEKAN – KDYMM Pemangku Raja Pahang bertitah, Baginda berasa patut menangguhkan sementara pelantikan Menteri Besar yang dijadualkan hari ini, Sabtu, 12 Mei kerana memerlukan sedikit lagi masa.

“Saya tangguh kerana saya rasa patut tangguh sekejap. Saya memerlukan masa dan, tak ada masalahpun nak tangguh. Saya perlukan masa sikit, senang saya boleh kenalpasti semualah anggota-anggota Kerajaan, itu saja,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui wartawan selepas Majlis Santapan/Jamuan Tengahari sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Sempena Memuliakan Ulangtahun Hari Keputeraan KDYMM Sultan Pahang awal petang Sabtu, 12 Mei di sini.

Menurut jadual asal, Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar berkenaan diadakan terlebih dahulu, disusuli Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri kemudiannya.

Ketika disembah-tanya tentang kemungkinan pelantikan Menteri Besar dilakukan serentak dengan pelantikan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri kelak, Baginda tidak menolak kemungkinan tersebut.

ANGKAT SEMBAH KE SISI KDYMM TUANKU... 


MAJLIS SERENTAK PELANTIKAN MB DISUSULI EXCONYA?

“You mean pelantikan? Mungkin, mungkin, mungkin, mungkin. Itu antaranya, kita cuba nak kenalpasti dulu. Banyak muka baru kan, saya tak berapa ingatlah mana baru, mana lama.

“So nak kenal, apakah ‘credentials’ dia orang,” titah Baginda lagi. Adalah difahamkan, tarikh baru bagi pelantikan Menteri Besar dan kemungkinan Ahli-ahli MMKnya ialah sama ada pada Isnin, 14 Mei atau Selasa, 15 Mei.   

Baginda turut disembah-tanya mengenai majlis penghadapan yang Baginda perkenankan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baru terpilih pada Pilihanraya Umum (PRU)-14 – dari parti-parti Barisan Nasional (BN), PAS dan PKR secara berasingan pagi dan petang semalam di Istana Abdulaziz, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

“Semalam tak ada apa,” titah Baginda. “Semalam (saya) jemput (mereka) datang ke Istana saya, ajak berkenal-kenalan – tahu siapa yang lama, siapa yang baru, nama-nama, itu saja.

“Niatnya nak maklumkan (yang) saya sentiasa suka bermesyuarah, bertanya khabar, bertanya kawasan dari mana, itu saja. Tak ada agenda lain,” titah Baginda lagi.


BERANGKAT PULANG... KDYMM Tuanku sedang hendak menaiki kenderaan rasmi Baginda sebelum berangkat pulang. – Khabar