Wednesday 16 May 2018

Kombinasi lama dan baru, yang boleh ‘blend’ ilmu dan pengalaman


… kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy tentang lantikan barisan lapan Ahli Exco Kerajaan Negeri

HARI PERTAMANYA... Dato' Sri Wan Rosdy sedang mengenakan 'thumb print'nya pada alat pengimbas sebagai tanda simbolik bermulanya hari kerja pertamanya sebagai Menteri Besar ke-15. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Muhammad Safian (di belakangnya). 


KANTIN, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pelantikan lapan (8) Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri sebagai kombinasi lama dan baru yang baik, yang dapat ‘blend’ antara ilmu dan pengalaman sesama mereka.

“(Ia) satu ‘line-up’ yang cukup baiklah – ada kombinasi antara yang lama dan yang baru jadi kita boleh ‘blend’ ilmu dan pengalaman masing-masing,” katanya pada persidangan media hari pertamanya selaku Menteri Besar ke-15 pagi Rabu, 16 Mei di sini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan tentang pandangannya terhadap pelantikan lapan (8) Ahli MMK termasuk dirinya oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar dan Ahli-ahli MMK petang semalam, Selasa, 15 Mei.

Menurutnya, beliau akan mempengerusikan buat pertama kalinya Mesyuarat MMK Negeri pada Rabu depan, 23 Mei serta menentukan portfolio yang akan dipegang oleh kesemua Ahli-ahli MMK berkenaan.

Dato’ Sri Wan Rosdy turut ditanya tentang sasarannya dalam tempoh dua (2) ini yang menurutnya, Kerajaan Negeri pimpinannya akan berusaha untuk meningkatkan sistem penyampaian dalam perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat.

MENINJAU KHIDMAT KAUNTER... 


SISTEM DAH BAGUS CUMA NAK PERTINGKATKAN LAGI  

“Sistem yang ada dah bagus cuma cuba pertingkatkan lagi, kita (cuba) memudahkanlah. Sebagai contoh, kalau (sesuatu urusan itu) mengambil masa, kita cuba percepatkan asalkan tidak lari daripada peraturan dan undang-undang.

“Yang ini saya akan bincang dengan Dato’ Sri SS dan Dato’ Sri LA. Saya percaya, ada beberapa perkara, proses-proses tertentu yang boleh kita pendekkan,” katanya yang diapit kedua-dua Setiausaha Kerajaan Negeri (SS), Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail dan Penasihat Undang-undang Negeri (LA) sebelah-menyebelahnya.

Beliau seterusnya memberi contoh bagaimana jika urusan pelupusan kenderaan pejabat yang telah usang yang boleh dipercepatkan dengan hanya beliau menurunkan kuasa kepada SS atau pegawai-pegawai tertentu untuk melaksanakannya.

“Sebab sebagai MB ini, kadang-kadang banyak perkara yang perlu dilihat – menghadiri mesyuarat sebagainya, tidak ada dalam negeri. Jadi, apabila perkara ini kita turunkan kuasa, tindakan segera akan diambil dan kepututusanpun akan dapat dikeluarkan,” katanya.

Beliau turut ditanya tentang usaha Kerajaan Negeri pimpinan Barisabn Nasional (BN) yang diketuainya, bagi membayar balik hutangnya dengan Kerajaan Pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang sebanyak kira-kira RM3,000 juta.

SINGGAH KE PEJABAT SFinO... Dato' SRi Wan Rosdy kelihatan menyatakan sesuatu ketika singgah sekejap ke pejabat Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Indera Roslan Harun (dua dari kiri) di Tingkat 6, Blok B, Wisma Sri Pahang ini. 

Selain Dato' Sri Muhammad Safian (kanan sekali), yang turut kelihatan ialah Pengarah, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPen), Dato' Suhaimi Mohd Yunus (tiga dari kiri) dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi), Dato' Toantowee Mohd Lotfie (empat dari kiri). 


NAK KURANGI HUTANG KERAJAAN TANPA BEBANKAN RAKYAT

“Kita akan lihat kedudukan yang sebenarnya sebab hari ini, ‘first day’ saya masuk ofis. Kita akan cuba ambil langkah-langkah untuk mengurangkan hutang ini yang pastinya tidak membebankan rakyat,” tegasnya.

Beliau turut mengulangi kenyataannya sebelum ini untuk memastikan Kerajaan Negeri memberi kerjasama kepada Kerajaan Pusat dalam menjayakan projek-projek mega yang telah dirancangkan termasuklah projek RM55,000 juta, Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

“Perkara-perkara yang telah dirancang awal kita teruskanlah sebab itu semua projek yang memberi kebaikan kepada rakyat,” katanya lagi.

Mengenai hari pertamanya selaku Menteri Besar katanya, beliau telah dibawa melawat bahagian-bahagian dan pejabat-pejabat terlibat yang berpejabat di kedua-dua Blok A dan B, Wisma Sri Pahang ini.

Sambil itu katanya, beliau turut mengambil kesempatan untuk bertemu dan beramah mesra dengan pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan di Bahagian-bahagian dan Pejabat-pejabat berkenaan. 


PADA PERSIDANGAN MEDIA... Persidangan media pada hari pertama Dato' Sri Wan Rosdy memulakan tugasnya pagi Rabu ini selaku Menteri Besar ke-15. – Khabar